Sita 10,000 tong gas

KLANG: Satu sindiket memindahkan gas petroleum cecair (LPG) subsidi dari tong gas domestik ke tong gas industri di sebuah kilang di Kampung Jawa, di sini, tumpas dalam serbuan yang dilakukan 18 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya, malam kelmarin.



Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang, berkata risikan pegawai KPDNKK selama dua minggu mendapati kilang terbabit beroperasi secara haram dan tidak berdaftar di bawah KPDNKK.


“Kilang itu beroperasi selama dua tahun dan beroperasi secara sistematik. Pemilik kilang mengaburi mata pihak berkuasa dengan membina dinding besi di sekeliling kawasan memproses pemindahan kandungan gas subsidi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.






Menurutnya, kilang terbabit menggunakan tujuh pam utama dan mempunyai 400 saluran paip bagi melakukan proses pemindahan gas itu.


“Kami mendapat maklumat kilang itu dari aduan orang ramai. Dalam serbuan malam ini (kelmarin), kami menyita 10,000 tong gas termasuk tong gas domestik dan tong gas industri serta tiga lori bermuatan 10 tan,” katanya.


Katanya, nilai rampasan dianggarkan mencecah RM1.1 juta dan beliau percaya terdapat lagi aktiviti seperti ini yang berleluasa di Lembah Klang.







Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 jika disabitkan kesalahan individu terbabit akan didenda RM100,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~