8 lelaki berkonvoi ganggu laluan trafik ditahan

AMPANG: Lapan lelaki yang menyertai perhimpunan haram tanpa permit dengan berkonvoi menggunakan motosikal ditahan polis kerana mengganggu ketenteraman awam dan kelancaran trafik di Taman Kosas, dekat sini, pagi semalam.



Kumpulan konvoi haram terbabit dikesan berarak di kawasan itu kira-kira jam 11 pagi dan semua lapan individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan dirakamkan keterangan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata lebih 20 peserta konvoi dan perhimpunan tanpa permit itu berada di kawasan itu ketika polis memantau keadaan, namun sebahagian besar daripada mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.






“Kami menahan mereka kerana perhimpunan itu diadakan tanpa permit polis. Tindakan mereka berkumpul dan berkonvoi mengganggu laluan trafik serta menyebabkan kesesakan lalu-lintas.


“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Ampang Jaya bagi diambil keterangan serta proses dokumentasi. Kami akan membebaskan mereka selepas semua proses dokumentasi selesai yang dijangka siap petang ini (semalam),” katanya.


Amiruddin berkata, semua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan tanpa permit polis.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~