KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga ikan secara melampau ekoran perbuatan mogok di kalangan nelayan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan akan dilakukan Majlis Penasihat Harga bagi memantau kawalan harga ikan di pasaran tempatan.
"Hari ini kita akan pergi ke kawasan yang naikkan harga ikan dengan melampau itu dan Majlis Penasihat Harga akan siasat sama ada pencatutan itu benar-benar berlaku atau memang harga ikan import dah naik," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Malaysian Consumer Law Journal (My.Consum.L.J) di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata jika didapati terdapat unsur-unsur keuntungan berlebihan maka kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara mengikut Akta Anti Pencatutan 2010 untuk diambil tindakan.
Ismail Sabri berkata nelayan sepatutnya berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mencari penyelesaian dan bukannya melancarkan mogok.
Pada 11 Jun lepas, lebih 500 nelayan dan pengusaha bot pukat tunda melancarkan mogok di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, di Kuantan dan meminta kerajaan menimbang pemberian subsidi super diesel kepada mereka.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~