KOTA BAHARU: Ketiadaan bekalan elektrik di Pasar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) bukan sahaja membebankan peniaga malah menimbulkan reaksi kurang senang pengunjung.
Rata-rata pengunjung yang ditemui di perkarangan pasar itu hari ini terkejut dan mengeluh kerana tidak dapat membeli-belah di pasar itu.
Seorang pengunjung dari Negeri Sembilan, Maisarah Nor Mohamed, 27, berkata beliau kecewa kerana hasratnya untuk membeli beberapa helai tudung untuk dibawa pulang ke Negeri Sembilan tidak kesampaian.
"Saya datang ke Kelantan Jumaat lepas, ini pertama kali datang ke negeri ini dan memang berhasrat nak beli tudung. Bila sampai, saya lihat suasana gelap dan ramai orang duduk di luar bangunan.
"Saya sangka ada kecemasan berlaku, lepas itu baru saya dimaklumkan tentang masalah yang menimpa peniaga," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Isu para peniaga di Pasar Lama Arked MPKB bermula selepas peniaga menuntut kerajaan PAS Kelantan menunaikan janji pilihan raya untuk menyediakan lot selesa di Bazar Tok Guru, di sini dengan harga RM40,000.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~