BUTTERWORTH: Seramai 180 pekerja sebuah kilang membuat kasut getah di sini menganjurkan piket secara aman hari ini kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan kilang berhubung kadar baru pelarasan gaji dan langkah tidak membenarkan pekerja tempatan bekerja lebih masa.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Syarikat Keluaran Getah (NUECMRP), K.Siritharan berkata pelarasan gaji maksimum tiga peratus yang diputuskan pengurusan kilang dalam rundingan terakhir 17 Jun lepas tidak dapat diterima pekerja.
"Selepas empat kali berunding sejak Januari lepas, pengurusan kilang memberi kata putus hanya akan memberikan tiga peratus pelarasan gaji berbanding kenaikan sehingga enam peratus tahun-tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas piket di sini.
Siritharan berkata lebih mengecewakan apabila pekerja tempatan tidak dibenarkan bekerja lebih masa dan mendakwa tawaran kerja lebih masa hanyalah untuk pekerja asing sahaja.
Kilang yang beroperasi sejak tahun 1972 itu mempunyai sebanyak 600 orang pekerja termasuk 200 pekerja asing.
Sementara itu usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak kilang terbabit gagal ekoran pihak pengurusan enggan memberi sebarang kenyataan.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~