>Tiada pantauan ibu bapa

KUALA LUMPUR: Desakan hidup membuatkan kebanyakan ibu bapa semakin melupakan nilai yang sepatutnya diterapkan kepada anak gadis yang meniti alam remaja hingga terperangkap dengan masalah sosial termasuk hubungan sejenis.



Pensyarah Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Hushim Saleh berkata, antara masalah utama institusi kekeluargaan zaman moden ialah tiadanya komunikasi dan sentuhan sedangkan elemen berkenaan penting bagi mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak gadis.


“Apabila mereka tiada tempat mengadu jalan paling mudah adalah mencari kenalan dan semestinya teknologi menjadi medan popular untuk berinteraksi. Misalnya mereka akan masuk laman ‘chatting’ seperti facebook, twitter dan myspace yang jika tidak dikawal boleh membawa pengaruh tidak baik kepada remaja.






“Pengaruh rakan sebaya juga antara faktor penyumbang gejala ini berkembang pantas. Umum mengetahui sifat semula jadi remaja yang mudah terpengaruh dengan perkara yang dirasakan membawa keseronokan kepada mereka,” katanya.


Beliau mengulas mengenai kewujudan satu laman web rasmi pengkid dan lesbian untuk menarik lebih ramai ahli yang mempunyai ‘selera’ sama.


Menurut Hushim, remaja terbabit menggunakan laman web berkenaan kerana mereka kesunyian dan memerlukan teman untuk meluahkan masalah dan lazimnya perempuan adalah pendengar yang lebih baik.







“Tidak semua individu adalah pendengar yang baik. Lebih-lebih lagi kaum lelaki yang tidak memahami perasaan kaum wanita. Ia menjadi faktor mengapa ada segelintir gadis beralih arah dan menjadi lesbian ataupun pengkid.


“Lagipun, ibu bapa masa kini sering kali sibuk dengan kerjaya masing-masing. Jadi, mereka kekurangan masa untuk bersama dengan anak-anak hingga mengabaikan mereka. Sebagai balasan, anak-anak ini cuma diberi wang selain menghadiahkan telefon bimbit serta komputer riba yang digunakan tanpa pemantauan,” katanya.





Beliau berkata, apabila individu meningkat dewasa, kira-kira 80 peratus aspek rohani, jasmani, emosi, pembentukan karakter dan psikologi dipengaruhi rakan sebaya berbanding zaman kanak-kanak yang banyak dipengaruhi ibu bapa.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~