KUALA LUMPUR: Pameran Polis Umum Ke-2 dan Pameran dan Persidangan Kelengkapan Khas Asia (GPEC Asia 2011) di Putrajaya minggu depan dijangka menarik 13,000 pengunjung.
Ini merupakan peningkatan daripada 9,000 pengunjung bagi GPEC Asia pertama dua tahun lepas, kata Datuk Rosle Jaamat Pengarah Eksekutif penganjur acara F&R Exhibition and Conference Sdn Bhd, kepada pemberita di sini, hari ini. GPEC Asia 2011, yang akan diadakan dari 27-29 Jun di Putrajaya International Convention Centre, adalah pameran perdagangan khas tertutup bagi kelengkapan polis, teknologi keselamatan dan perkhidmatan. "Peserta pameran dari 11 negara akan mempamerkan perkhidmatan dan barangan mereka termasuk penyelidikan IT forensik, penyiasatan jenayah, senjata pertahanan diri dan bukan bahaya, kelengkapan menyelamat serta logistik," kata Rosle.
Acara itu, yang dijadualkan dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dijangka menarik delegasi dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Russia, Itali, UK, Denmark, Jerman, US, China, Australia, India, Arab Saudi dan Sepanyol, selain Malaysia. - Bernama
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~