ALOR GAJAH: Gara-gara mengelak babi hutan melintas pensyarah nyaris maut apabila kereta dipandunya merempuh belakang lori di Kilometer 201.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.40 malam, Mohd Nasir Md Nor, 29, cedera parah di bahu kiri manakala adiknya, Mohd Nazri, 25, parah di kepala akibat terhantuk pada papan pemuka kereta.
Menurut saksi, Mohd Razif Isa, 27, dia di belakang kereta Proton Pesona dinaiki dua beradik itu memberhentikan keretanya bagi memberi bantuan kepada mangsa.
“Saya lihat pemandu dan penumpang cuba keluar namun gagal dan mereka merayu bantuan kerana bimbang kereta terbakar.
“Saya dan pengguna jalan raya lain mengeluarkan dua beradik itu daripada kereta yang remuk dalam masa beberapa minit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Menurutnya, dia difahamkan, pemandu kereta itu cuba mengelak objek hitam dipercayai babi hutan yang melintas jalan.
Katanya, pemandu kereta itu menekan brek mengejut menyebabkan keretanya berpusing lalu melanggar lori yang diletak di kiri lebuh raya.
Kedua-dua mangsa yang cedera itu dikejarkan ke hospital oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah.
Sementara itu, jurucakap JPAM berkata, mangsa diberikan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~