SABAK BERNAM: Menyayat hati apabila seorang nelayan tempatan ditemui lemas selepas bot dinaikinya terbalik dirempuh sebuah kapal besar dalam kejadian awal pagi semalam, kira-kira sembilan batu nautika dari pesisir pantai Sekinchan, Sungai Besar, di sini.
Sebelum kejadian, mangsa, Heng Choon Keng, 29, bersama bapanya, Heng Keng Sooi, 54, dan abangnya, Heng Choon Ming, 32, serta dua pekerja warga Indonesia keluar ke laut menangkap ikan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 10.51 pagi daripada adik mangsa.
“Polis menerima laporan bot kelas B milik Keng Sooi dinaiki lima nelayan yang menangkap ikan dirempuh kapal besar kira-kira jam 3.30 pagi pada kedudukan kira-kira sembilan batu nautika dari pesisir pantai Sekinchan.
“Rempuhan itu menyebabkan bot dinaiki lima nelayan itu terbalik lalu karam. Semua mangsa terhumban ke laut sebelum seorang daripada mereka lemas selepas terperangkap dalam bot yang terbalik manakala empat lagi berjaya menyelamatkan diri.
“Mayat mangsa ditemui kira-kira jam jam 11 pagi oleh penyelam dan anggota penyelamat dalam bot karam berkenaan sebelum dibawa naik di Pantai Redang, Sekinchan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat,” katanya.
Keng Sooi yang ditemui berkata, mereka berlima turun ke laut untuk menangkap ikan kira-kira jam 2.30 pagi.
“Ketika kejadian, keadaan kabus tebal dan Choon Keng tidur di tingkat dua bot. Dia sukar menyelamatkan diri apabila bot terbalik dan mula karam.
“Saya tak berdaya membantunya kerana perlu menyelamatkan diri dengan berenang dan berpaut pada bot yang karam. Saya hanya melihat anak saya itu masih terkial-kial,” katanya.
Abang mangsa, Choon Ming berkata, ketika kejadian, semua mereka langsung tidak menyedari kehadiran kapal besar terbabit kerana kabus tebal.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~