SEREMBAN: Seorang lelaki terselamat daripada rentung selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 264, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, Mohd Shahrul Salam Ramli, 22, sempat keluar dari Proton Satria dipandunya sebelum kereta itu hangus.
Difahamkan, Shahrul yang dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang besi menyebabkan kenderaannya berpusing ke tengah jalan lebuh raya sebelum dirempuh sebuah kereta lain.
Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba Seremban 2 berkata, mangsa yang memandu seorang diri itu sempat keluar daripada kenderaannya sebelum kereta itu terbakar.
“Bomba menerima panggilan jam 11.33 malam dan apabila tiba di tempat kejadian, kami lihat kereta itu dijilat api,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kereta dipandu Shahrul hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan dirempuh kereta lain dari arah depan sebelum terbalik.
“Namun, pemandu wanita yang Perodua Viva dan merempuh kereta mangsa, terselamat tanpa kecederaan serius,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban 2, Latip Selamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.33 malam lalu bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa. Menurutnya, pihaknya berjaya memadam kebakaran pada kereta terbabit dan mangsa dilaporkan selamat apabila sempat keluar dari dalam kenderaan itu.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~