KOTA BHARU: Sembilan sekeluarga nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas sebelum terperosok ke dalam parit kira-kira dua meter dalam kejadian di Padang Tembak, di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku apabila satu tayar Mitsubishi Pajero terbabit meletup dan menyebabkan kenderaan itu tidak dapat dikawal.
Difahamkan, beberapa mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Saksi kejadian, Nik Catinal Johari, 36, berkata, dia melihat kenderaan itu terbabas ketika bersama beberapa rakan minum di sebuah gerai makan.
Katanya, dia terdengar tayar meletup sebelum disusuli dentuman kuat.
“Sebelum kejadian, kenderaan itu dalam perjalanan ke Padang Tembak dari Bukit Marak.
“Saya terdengar bunyi kuat sebelum bergegas ke tempat kejadian. Sebaik tiba, kenderaan itu terperosok ke dalam parit sebelum menghulurkan bantuan kepada mangsa yang cedera termasuk seorang kanak-kanak.
“Penduduk kampung yang melihat kejadian itu membantu sebelum menghubungi bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bhari Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.33 malam sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dan tiga anggota sukarela dikejarkan ke tempat kejadian. “Sebaik tiba, penduduk kampung sudah mengeluarkan beberapa mangsa.
“Semua mangsa dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menerima rawatan,” katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~