KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan cuti umum bagi seluruh Kelantan hari ini, bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan yang menonton perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, pulang ke Kelantan dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.
Nik Abdul Aziz berkata, cuti umum itu diambil atas sebab cuti peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dengan Terengganu.
“Cuti umum ini sebagai memberikan ruang selesa kepada penyokong pasukan Kelantan yang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional untuk pulang ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan yang die-mel kepada Metro Ahad, semalam.
Pengumuman mengenai cuti itu turut dibuat menerusi laman sosial Facebook Nik Abdul Aziz.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan itu dibuat Menteri Besar selepas solat Zuhur, semalam.
“Perbincangan dibuat selepas melihat terlalu ramai rakyat Kelantan berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menonton perlawanan akhir Piala FA.
“Justeru, bagi memudahkan perjalanan mereka dan melihat daripada segi faktor keselamatan di jalan raya, cuti diisytiharkan esok (hari ini).
“Penyokong Kelantan diharap dapat pulang dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa,” katanya.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~