JOHOR BAHRU: Karnival Gegaria Harian Metro kembali lagi dan tahun ini, siri pertama karnival bakal memberikan peluang kepada pembaca setia mengikuti pelbagai acara menarik di Plaza Angsana pada 23 dan 24 Julai depan.
Berbeza dengan karnival sama dua tahun lalu, kali ini pengurusan menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari karnival, termasuk forum agama di perkarangan Padang A Plaza Angsana.
Penaung Karnival Gegaria Harian Metro merangkap Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok berkata, tujuan utama Karnival Gegaria Harian Metro ialah menghargai pembaca setia dan pengikut baru akhbar nombor satu Malaysia ini.
Katanya, karnival dimulai forum agama diadakan pada Jumaat malam membabitkan panel terkenal mengupas isu semasa masyarakat.
Menurutnya, keesokan harinya, pengunjung berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai acara disediakan.
“Tahun ini, kami tampilkan formula baru iaitu pelbagai acara mengikut sisipan Harian Metro seperti solekan menerusi sisipan Hati, Rap menampilkan artis terkenal tanah air dan Arena menampilkan atlit negara, persembahan motosikal lasak serta pertandingan memanjat dinding.
“Selain itu, pengunjung bakal dihiburkan menerusi pertandingan Metro Idol, kuiz, pertandingan karaoke dan ‘battle of the band’.
“Kemuncak hari pertama ialah konsert artis terkenal tanah air pada Sabtu malam, sebelum acara sama diadakan keesokan harinya,” katanya selepas perbincangan bersama Ketua Pegawai Operasi Uda Angsana Sdn Bhd, Ainul Adnan Ibrahim, di Plaza Angsana, semalam.
Menurut Salim, pengurusan menjangka lebih 60 gerai dibuka membabitkan penaja dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), sekali gus memeriahkan lagi karnival.
Katanya, bandar raya ini dipilih sebagai lokasi pertama berikutan jumlah pembaca yang tinggi dan karnival sama dijangka diadakan di Pahang selepas Aidilfitri.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~