Bekas suami tikam janda diburu

KOTA BHARU: Polis melancarkan gerakan memburu seorang kakitangan sebuah hospital berusia 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes menikam bekas isterinya menggunakan gunting dipercayai kerana gila talak dalam kejadian, petang kelmarin.



Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata berdasarkan siasatan, suspek yang dikenali sebagai Roofeza Abdullah bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di sebuah hospital, di sini.


“Kami (polis) mengesan suspek dan berusaha menangkapnya. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan cedera parah kepada mangsa yang juga bekas isterinya.






“Hasil siasatan, polis menemui senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan tindakan segera akan diambil, manakala senjata berkenaan dipercayai milik hospital tempat suspek bekerja,” katanya ketika ditemui di Wad 28, Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II), di sini, semalam.


Terdahulu, Azham meluangkan masa kira-kira setengah jam bermula jam 12.15 tengah hari untuk melihat keadaan mangsa yang juga pelatih salun, Hazita Mohamad, 28, yang kini menerima rawatan di wad hospital berkenaan.


Pertemuan singkat terbabit digunakan Azham untuk memberi kata-kata semangat kepada Hazita dan anak lelakinya berusia enam tahun sebelum berjanji untuk menahan bekas suaminya.







Pemerhatian wartawan yang turut mengunjungi mangsa mendapati mangsa masih trauma dan tidak dapat menjawab soalan secara terperinci, meskipun dikelilingi keluarga terdekat.


Selain ditikam, laporan doktor mendapati, wanita itu turut menerima gigitan di lengan kiri tangannya dan lebam.





Azham berkata, suspek dipercayai mengekori bekas isterinya dari sebuah pusat beli-belah ke pasar raya berkenaan dan menerpa wanita itu ketika berada di parkir tingkat bawah pasar raya berkenaan.


“Kami percaya berlaku pertengkaran dan suspek menggunakan senjata untuk mencederakan mangsa, manakala punca pertelingkahan akibat keengganan mangsa merujuk kembali dengan bekas suaminya itu,” katanya.


Menurut Azham, mana-mana pasangan suami isteri diingatkan supaya menyelesaikan masalah rumah tangga secara aman serta tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang.


Semalam, Harian Metro melaporkan, ‘parkir asmara’ sebuah pasar raya di sini, seperti didedahkan muka depan akhbar ini, 8 Jun lalu, bertukar ‘parkir berdarah’, apabila seorang pelatih salun parah ditikam sekurang-kurangnya tujuh kali di kepala, leher dan muka menggunakan gunting oleh bekas suaminya dipercayai kerana gila talak.


Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari petugas pasar raya berkenaan sejurus terdengar jeritan wanita berusia 28 tahun itu ketika dia cuba melarikan diri daripada ‘ditawan’ bekas suami yang memandu kenderaannya.


Dalam keadaan yang tidak bermaya dan berlumuran darah, mangsa memberitahu kejadian berkenaan kepada petugas pasar raya itu bahawa dia ditikam bekas suaminya dan memberitahu lelaki berusia 30-an terbabit melarikan diri dengan berjalan keluar dari parkir berkenaan.


Melihat keadaan mangsa yang parah, kakitangan pasar raya berkenaan menghantarnya ke HRPZ II bagi mendapatkan rawatan segera di wad kecemasan.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~