Hilang dara di Port Dickson
Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my
Melihat penampilannya, tiada siapa menyangka bahawa Maisara (bukan nama sebenar) pernah mengalami sejarah hitam dalam hidupnya.
Remaja yang menginjak usia 23 tahun pada Februari lalu itu bukan sahaja memakai busana muslimah malah bicaranya penuh sopan.
Walaupun kelihatan berisi, Maisara sebenarnya mempunyai daya tarikan tersendiri. Maisara merupakan pelajar dalam jurusan ekonomi di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu kota.
“Saya berasa sangat jijik. Saya mengandung sebelum berkahwin. Biarlah cerita saya ini akan menjadi pengajaran buat remaja lain,” kata Maisara memula bicara ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Maisara, dia merupakan seorang remaja yang berpegang kuat kepada ajaran Islam. Malah ketika di universiti, dia sentiasa mengikuti aktiviti bercorak keagamaan dan usrah.
Alim kucing
Anak kedua daripada empat beradik itu juga aktif mengikuti program berbentuk kepimpinan.
Kisah hitamnya bermula apabila bertemu dengan seorang pelajar lelaki dalam sebuah program kepimpinan antara universiti beberapa tahun lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai Johari (bukan nama sebenar) itu memiliki penampilan baik dan kelihatan alim. Mereka sentiasa tolong-menolong sepanjang program tersebut berlangsung.
Maisara merasakan Johari ialah jodohnya walaupun mereka baru saling kenal-mengenali. Dakwa Maisara, dia tertarik dengan sifat Johari yang kelihatan bertanggungjawab dan patuh kepada agama.
Selepas program tiga hari yang berlangsung di Kuala Nerang, Kedah itu berakhir, Maisara dan Johari masih tidak putus berhubung.
“Saya hanyut dengan perasaan cinta terhadapnya. Sebelum itu dia amat baik dan melayan saya dengan penuh hormat.
“Tetapi nafsu akhirnya menguasai cinta kami. Kami pernah terlanjur sehingga saya mengandung,” kata Maisara yang sentiasa menundukkan wajah ketika ditemu bual Jurnal.
Kisah hitamnya berlaku kira-kira dua tahun lalu. Pada ketika itu mereka berdua menghabiskan masa hujung minggu bersama.
“Kami menyewa sebuah bilik hotel selepas penat bersiar-siar di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Mulanya kami sekadar ingin melepaskan penat dan bersiap sahaja, tetapi ia berakhir dengan perbuatan yang dilarang agama itu,” katanya sambil mengesat air mata.
Remaja yang lahir dalam keluarga sederhana di sebuah negeri di utara tanah air itu tidak menyangka keterlanjuran mereka mengundang perkara lebih buruk apabila dia disahkan hamil.
“Kami melakukan perkara keji itu hanya sekali kerana masing-masing berasa sangat bersalah selepas kejadian itu.
“Saya tidak menyangka bahawa dengan sekali terlanjur, saya terus mengandung. Mungkin Allah ingin memberikan balasan kepada saya.
Ditinggalkan kekasih
Selepas melakukan perbuatan terkutuk tersebut, Johari mulai menjauhkan diri daripadanya.
“Dia sering mengelak apabila saya mengajaknya untuk berbincang mengenai perbuatan kami itu.
“Katanya, dia bukanlah lelaki yang baik untuk saya. Dia sudah insaf dan ingin menjauhi saya. Katanya bahawa dia berasa sangat bersalah.
“Sehingga kini, dia sudah tidak dapat dihubungi lagi,” katanya sambil mengesat air mata.
Maisara baru sahaja melahirkan seorang anak perempuan. Biarpun takut dimarahi keluarga, dia tidak merahsiakan perbuatan itu kepada ibu dan kakaknya.
“Walaupun sukar menerima hakikat saya hamil tanpa nikah, ibu saya tetap menerima saya. Tetapi saya dapat rasakan betapa pilunya perasaan ibu. Terima kasih kerana ibu masih menyayangi saya.
“Saya menangguhkan pengajian selama setahun ketika kandungan berusia tujuh bulan. Ibulah yang menjaga saya ketika mengandung,” katanya yang sudah ketiadaan bapa sejak lapan tahun lalu.
Jelas Maisara, anaknya yang kini berusia lapan bulan dijaga oleh keluarga terdekat.
Ditanya adakah dia tidak berasa bersalah dengan perbuatannya itu, Maisara menjawab bahawa dia tahu zina adalah haram tetapi kalah dengan nafsu pada ketika itu.
“Ketika melakukan perbuatan itu, saya tidak memikirkan apa-apa. Bila nafsu telah menguasai diri, saya tidak dapat menahan lagi perasaan itu.
“Jika sebelum ini saya mendengar ceramah mahupun berbincang dengan sahabat-sahabat mengenai hukuman Allah terhadap penzina, tapi akhirnya saya sendiri yang melanggar hukum itu,” katanya.
Kisah Maisara tidak banyak dapat dibongkar kerana tuturnya banyak berselindung dan dia enggan mendedahkan banyak mengenai dirinya.
“Semoga Allah menerima taubat saya ini. Saya takut kepada azab seksaan-Nya. Saya tidak sanggup memakan daging busuk ketika di akhirat nanti,” katanya.
Maisara kini sedang bersiap untuk memulakan sesi semester barunya pada September nanti. Harapannya hanya satu, ingin meneruskan pengajian sehingga menggenggam segulung ijazah dan tidak mahu kalah lagi dengan godaan hawa nafsu.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~