Harum negara

PETALING JAYA: Iltizam dan semangat mahu mengharumkan nama negara menjadi dorongan kepada bekas guru, Mohammed Adnan Osman, 69, yang bakal berbasikal secara solo dari Kuala Lumpur ke London, England bagi menyaksikan Sukan Olimpik di negara berkenaan, tahun depan.



Beliau akan memulakan misi itu dari Kuala Lumpur September depan dan dijangka menghabiskan tempoh sembilan hingga 10 bulan untuk sampai ke London dengan jarak perjalanan 20,000 kilometer.


Adnan berkata, beliau teruja untuk merealisasikan hasratnya selepas cubaan berbasikal secara solo ke Beijing, China sempena Sukan Olimpik China 2008 lalu tidak tercapai.






“Cubaan pertama dulu gagal kerana masalah visa dan kekangan kerajaan China. Untuk cubaan kali ini, saya merancang sebaik mungkin supaya tidak timbul lagi masalah ketika misi ke London berjalan nanti.


“Saya bersemangat untuk memulakannya. Saya mahu rakyat Malaysia membuka mata, terutama di kalangan generasi muda, supaya mereka juga mahu berusaha dan mengambil inisiatif melakukan sesuatu yang mampu mengharumkan nama negara pada mata dunia,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, semalam.


Kini, Adnan dalam persiapan akhir bagi melaksanakan misi berbasikal solonya. Beliau menegaskan, meskipun usianya menginjak angka 69, namun daripada segi stamina dan kekuatan fizikal beliau cukup bersedia.







Sebelum ini, beliau pernah berbasikal secara solo mengelilingi seluruh Indo-China dari Kuala lumpur merentasi Thailand, Vietnam, Laos dan Kemboja.


Selain itu, pada 2009 beliau terbabit dengan acara maraton di padang pasir gurun Sahara di Maghribi selama tujuh hari dan menjadikan beliau antara tiga individu dari Malaysia yang pernah menyertai kejohanan terbabit.





Selain berbasikal dan maraton, beliau aktif melakukan aktiviti lasak lain seperti mendaki gunung serta berkayak.


Adnan berkata, minat menjalankan aktiviti berkenaan bermula sejak tekad berhenti merokok kira-kira 23 tahun lalu ketika berusia 46 tahun.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~