Format baru diterima

PUTRAJAYA: Perubahan pada format Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 menggabung jalinkan falsafah perkongsian pintar dengan keperluan melakukan transformasi diterima baik peserta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.



Menurutnya, konsep dan nilai mendasari perkongsian pintar diterima pakai dan dapat dihayati peserta, sekali gus menjadikan LID kali ini berlangsung dengan jayanya.


“Perubahan kali ini apabila kita dapat menggabung jalinkan falsafah perkongsian pintar dengan keperluan untuk melakukan transformasi kerana perkongsian pintar sebagai satu pendekatan dan konsep perlu dikaitkan dengan keberhasilan.






“Sebab itu tema kali ini ialah meningkatkan perkongsian pintar bagi transformasi sosio ekonomi.


“Perubahan pada format LID kali ini juga diterima baik peserta kerana ia ada beberapa siri baru seperti forum perniagaan, lawatan lapangan dan pertemuan antara ketua kerajaan dan ketua delegasi,” katanya, pada sidang media, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.


Turut serta sidang akhbar itu ialah Presiden Tanzania, Jakaya Mrisho Kikwete, selaku hos Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2013.







LID yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu dan berakhir semalam dihadiri pemimpin dan delegasi 15 negara, khususnya dari Afrika termasuk Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe; Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Bethuel Mosisili dan Perdana Menteri Swaziland Barnabas Sibusiso.


Najib berkata, selain itu, LID dapat mengupas beberapa perkara yang difikirkan amat penting, iaitu jaminan makanan dan tenaga, perkembangan dari segi jaringan sosial membabitkan teknologi maklumat dan komunikasi serta gerakan global yang sederhana.





“Semuanya ini membawa kepada perbincangan lebih mendalam dan mengenal pasti cabarannya terutama dalam jaminan makanan.


“Hasil daripada itu kita berharap model perkongsian pintar ini boleh dijadikan sebagai satu alat untuk kita menghadapi dan menangani cabaran yang sudah pun saya gariskan,” katanya.


Perdana Menteri juga mengalu-alukan kesediaan Presiden Tanzania menawarkan negara berkenaan sebagai tuan rumah kepada dialog di Afrika dua tahun lagi.


“Kita juga tetapkan dalam tempoh masa antara LID di sini pada 2011 dan dialog 2013, kita berharap banyak aktiviti berkaitan perkongsian pintar ini dapat dilaksanakan,” katanya.


Sementara itu, pada majlis penutup dialog berkenaan, beliau berkata, Malaysia bersedia membantu negara Afrika melaksanakan transformasi ekonomi, malah sanggup menghantar Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala ke sana.


Sebagai timbal balik, katanya, Malaysia sanggup berkongsi dan belajar dari negara Afrika dalam mentransformasikan dan memajukan perkongsian pintar sosio-ekonomi.


“Kami boleh menghantar Datuk Seri Idris ke negara anda seketika, tetapi tidak boleh lama kerana memerlukan beliau di sini. Beliau tidak boleh dipindah milik dan tiada yuran pemindahan untuk beliau,” katanya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~