Bekas isteri fail interlokutori

KUALA LUMPUR: Bekas isteri pertama pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) di Mahkamah Tinggi Syariah untuk membatalkan saman ganti rugi RM53,460 difailkan bekas suaminya itu.



Faizah Mohamad, 33, yang diwakili peguam syarie Mohammad Amir Nazli Hussin memfailkan permohonan itu selepas mendakwa Muhammad Roslin gagal hadir pada prosiding perbicaraan pada 23 dan 24 Mac lalu.


Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, peguam syarie Roslizam Rahim mengemukakan permohonan untuk mendapatkan minit prosiding kedua-dua tarikh itu diberikan kepada mereka.






Roslizam berkata, pihaknya akan mengemukakan afidavit jawapan berhubung permohonan Faizah dalam tempoh 14 hari.


Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah berhubung isu itu.


Pada 21 Oktober 2009, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan ketika merisik antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915). Bagi perbelanjaan ketika perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11, 465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~