KUALA LUMPUR: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjaya menyelesaikan 58,094 kes yang difailkan pengguna terhadap pembekal barangan dan perkhidmatan atau pengilang dengan nilaian award berjumlah RM135.2 juta bagi tempoh Januari 2000 sehingga 31 Mei lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu membabitkan 97.73 peratus daripada 59,441 kes dengan jumlah tuntutan bernilai RM275.6 juta.
Katanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 4,542 tuntutan yang didaftarkan berbanding pemfailan sebanyak 2,272 bagi tempoh sama pada tahun lepas.
"Saya percaya peningkatan ini disebabkan oleh kesedaran pengguna dan promosi secara meluas yang dilakukan melalui program-program kementerian seperti ceramah, seminar, taklimat dan publisiti melalui media massa.
"Malah lebih banyak tuntutan lagi akan dibuat selepas pelancaran portal 1Malaysia Pengguna Bijak pada minggu lepas kerana pengguna boleh mendaftarkan tuntutan mereka hanya melalui SMS (sistem pesanan ringkas)," katanya ketika melancarkan Malaysian Consumer Law Journal (My.Consum.L.J) di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini hari ini.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~