Ejen wajib patuh kadar bayaran amah

Ejen wajib patuh kadar bayaran amah

SEPANG - Semua agensi pekerja asing di negara ini perlu mematuhi syarat dan kadar bayaran yang ditetapkan bagi pengambilan pembantu rumah dari Indonesia, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.


Katanya, syarat dan kadar bayaran tersebut dimuktamadkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia yang dimeterai di Bandung, Indonesia kelmarin.


Mengikut MoU itu, kos pembayaran kepada ejen-ejen yang membekalkan pembantu rumah ditetapkan pada kadar RM4,511.


"Jadi kos pengambilan pembantu rumah Indonesia selepas ini tidak sepatutnya mencecah sehingga RM6,000 ke RM8,000 sebagaimana sekarang,'' katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.


MoU itu ditandatangani oleh Dr. Subramaniam bagi pihak kerajaan Malaysia manakala Indonesia diwakili oleh rakan sejawatannya, Muhaimin Iskandar.


Pihak Indonesia sudah menyatakan komitmen mereka untuk mematuhi syarat dan kadar bayaran yang ditetapkan itu, katanya ketika mengulas rungutan agensi pekerja asing terhadap kadar yang ditetapkan itu. - Bernama

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~