Taliban serang Loya Jirga

Dunia












PENDUDUK meninjau lokasi letupan roket yang dilancarkan Taliban terhadap Loya Jirga di Kabul.

PENDUDUK meninjau lokasi letupan roket yang dilancarkan Taliban terhadap Loya Jirga di Kabul.







Dua roket dilancarkan ke arah lokasi persidangan

KABUL: Pergerakan Taliban melancarkan serangan roket terhadap perhimpunan pemimpin puak Afghanistan atau ‘Loya Jirga’ semalam yang tidak mengenai sasaran lokasi persidangan tetapi menyebabkan seorang cedera.




Letupan roket itu menggegarkan kawasan berhampiran lokasi Loya Jirga yang diadakan bagi membincangkan hubungan masa depan dengan Amerika Syarikat, kata pegawai.





Dua roket itu dilancarkan ke arah Kabul sejurus selepas jam 8.00 pagi waktu tempatan, sebelum hari kedua pertemuan dengan ketua puak bermula.

“Dua roket dilancar ke ibu negara,” kata ketua polis bandar raya itu, Mohammad Ayoub Salangi, selepas saksi melaporkan dua letupan kuat.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqqi, berkata salah satu roket meletup di jalan raya di kawasan berdekatan lokasi Loya Jirga iaitu Hotel Intercontinental, 500 meter dari situ.

Seorang penduduk awam cedera ringan terkena satu lagi roket yang meletup beberapa kilometer dari lokasi pertemuan berkenaan.





Serangan itu menyusuli letupan bom buatan sendiri menyebabkan dua anggota pengaman antarabangsa maut di selatan Afghanistan, Sabtu lalu.

Dalam mesej yang dihantar kepada wartawan, pergerakan Taliban mendakwa bertanggungjawab melancarkan dua roket itu ke arah khemah Loya Jirga.

Kumpulan itu mengetuai pemberontakan 10 tahun menentang pasukan tentera asing diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan kekuatan 140,000 askar dan kerajaan pimpinan Presiden Hamid Karzai.

Pemimpin Taliban sudah mengancam menyerang Loya Jirga kali ini bagi membincangkan hubungan strategik dengan Amerika dan strategi damai dengan militan itu.

Ketika Loya Jirga tahun lalu, anggota militan melancarkan roket ke arah lokasi perhimpunan yang membawa kepada peletakan jawatan dua menteri.

Kelmarin, Karzai menggariskan syarat kepada kehadiran tentera Amerika di negara itu selepas pasukan tentera NATO berundur pada akhir 2014. – AFP









~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~