KOTA BHARU: Dua beradik dalam perjalanan ke masjid menunaikan solat Jumaat, parah apabila tayar belakang motosikal dinaiki pecah sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan, dekat Baung, Pengkalan Chepa, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Reduan Shamsuddin, 29, patah tangan, manakala adiknya, Hafiz, 23, pengsan di tempat kejadian sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh orang ramai.
Menurut adik ipar kepada Reduan, Azalinawati Zamri, 35, berkata dia menerima panggilan abang iparnya jam 1.30 tengah hari bagi memaklumkan kejadian itu.
“Dalam suara yang terketar-ketar, dia meminta saya memberitahu ayah mereka terbabit dalam kemalangan.
“Saya cuba menghubungi ayah beberapa kali, namun gagal kerana dia berada di masjid,” katanya.
Menurut ibu mangsa, Fatimah Ismail, 58, berkata Reduan datang dari Wakaf Bharu mengambil adiknya di rumah mereka di Kampung Lepan Pari, Pengkalan Chepa sebelum ke masjid berhampiran.
Katanya, motosikal itu baru tiga bulan digunakan anaknya hasil pemberian bapa mentua Reduan, Zamri Daud, 57.
“Sebelum mereka keluar, dua beradik itu sempat berbincang untuk ke stadium malam nanti menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Terengganu.
“Tidak lama kemudian makcik terkejut apabila mendapat tahu mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~