GEORGE TOWN: Perbuatan seorang lelaki yang menggunakan cukai jalan palsu akhirnya membawa padah dan membongkar kegiatannya memiliki dadah jenis ganja dalam sebuah kereta.
Pegawai Turus Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata lelaki itu pada mulanya ditahan polis dalam satu operasi "Ops Evo Elit" di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Butterworth, awal pagi ini.
Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada jam 1 pagi itu, lelaki terbabit kelihatan gelisah selepas ditahan dan pemeriksaan mendapati dia menggunakan cukai jalan palsu yang dibuat sendiri.
"Ketika ditahan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dalam keadaan mencurigakan dan agak gelisah, hasil pemeriksaan lanjut dalam keretanya, kita menemui sepeket ganja yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menemui topi berlogo polis dan sebilah pisau dalam kereta Proton Perdana milik lelaki yang bekerja sebagai juru ukur itu.
Rohizad berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu cuba menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan topi berlogo polis yang ditemui dalam keretanya.
"Siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu datang ke Pulau Pinang untuk membeli ganja sebagai bekalannya bagi melepaskan gian," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah. - Bernama
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~