‘Terima kasih semua’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan penghargaan kepada rakyat Britain yang membantu pelajar Malaysia, Mohamad Asyraf Haziq Rossli yang dipukul dan dirompak samseng yang pada awalnya berpura-pura membantunya ketika rusuhan di London awal bulan ini.



“Terima kasih kerana membantu pemuda Malaysia yang ketika itu memerlukan bantuan dan terima kasih kerana sekali lagi membuktikan London sebuah bandar raya yang mengalu-alukan orang luar, tetapi bukan kepada golongan ekstremis,” katanya dalam artikel yang disiarkan dalam The Times.



Najib berkata, di Malaysia, kejadian itu disifatkan sebagai tidak berhati perut, tidak berbelas kasihan dan zalim yang mengejutkan rakyat Malaysia.






“Ramai daripada kami pernah menghabiskan masa di bandar raya anda dan amat menyayanginya, tetapi peristiwa hitam di London itu tidak pernah kami saksikan sebelum ini dan kami mula tertanya-tanya jika ia sudah berubah, jika kenangan kami sudah diwarnai nostalgia atau malahan kami sudah tersilap sebelum ini,” katanya.



Namun, katanya, pada hari-hari kemudiannya Britain menunjukkan wajah sebenarnya kepada dunia apabila ribuan rakyat Britain melalui Internet mengutuk perbuatan itu.



“Gelombang kemarahan itu disusuli rasa keprihatinan, bantuan dan sokongan. Dalam zaman dengan sesetengah pihak masih cuba meletakkan jurang antara bangsa dan agama, rakyat biasa Britain tidak teragak-agak untuk membuka pintu hati mereka kepada pemuda Islam Malaysia,” katanya.







Najib berkata, Asyraf sendiri menjelaskan perasaan itu semula jadi, enggan membuat penghakiman seperti katanya kepada dunia beliau menyayangi London, tiada apa yang dapat memujuknya untuk meninggalkan kota itu lebih awal dan malahan beliau berasa kasihan kepada penyerangnya.



Perdana Menteri berkata, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun lalu, beliau sudah menggesa pemimpin dunia supaya memerangi semua bentuk ekstremisme dengan menubuhkan ‘Movement of the Moderates’ di peringkat global-rakyat biasa daripada semua bangsa, agama dan fahaman politik memerangi golongan ekstremis dan mempertahankan nilai-nilai pegangan dan kepercayaan mereka.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~