Selangor sambar harimau
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my
SELANGOR ‘perangkap’ tiga anak harimau dalam usaha mereka memantapkan skuad menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini.
Gergasi Lembah Klang itu sudah melengkapkan kuota tiga pemain pinjaman untuk saingan Piala Malaysia musim ini dengan mengambil dua pemain Harimau Muda A dan seorang pemain Harimau Muda B.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tiga pemain tersebut ialah Nazri Ahmad, 21, (pertahanan), Haziq Zikri Elias, 20, (penyerang) dan kapten Harimau Muda B, D. Saarvindran, 19, (penyerang).
Ketiga-tiga mereka tidak tersenarai untuk siri perlawanan persahabatan dan latihan selama sebulan skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee di Slovakia ketika ini.
“Nazri dan Saarvindran anak jati Selangor manakala Haziq tinggal di United Kingdom sebelum kembali ke tanah air dan beraksi untuk Harimau Muda A.
“Jadi tempoh pinjaman ini merupakan pendedahan terbaik untuk mereka merebut tempat bagi menyarung jersi Selangor secara tetap pada masa akan datang.
“Lagipun FAS berasakan tiga pemain muda ini lebih baik berbanding jika kami pinjam pemain-pemain lain dari pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia,” kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dengan kehadiran tiga pemain itu, Selangor kini mempunyai jumlah 25 pemain untuk misi memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33 sekali gus menamatkan kemarau setelah kali terakhir menjulangnya pada 2005.
Dalam pada itu, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Liga Super FAS baru-baru ini telah membuat keputusan melantik Hamidin sebagai pengurus sementara Selangor bagi kempen Piala Malaysia musim ini.
Sebelum ini, jurulatih Selangor, K. Devan turut berperanan sebagai pengurus pasukan setelah FAS tidak menyambung khidmat pengurus sebelum ini, Zakaria Ab. Rahim.
“Saya akan bertindak sebagai pengurus sementara atau pemangku pengurus untuk Piala Malaysia ini saja. Ia bagi meringankan beban Devan agar dia boleh memberi fokus sepenuhnya terhadap latihan pasukan,” jelas Hamidin.
Saingan Piala Malaysia musim ini akan berlangsung dari 6 September hingga 29 Oktober depan dengan majlis undiannya akan berlangsung pada Rabu ini.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~