JASIN: Impian seorang remaja menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermula bulan depan musnah apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 22.8 Jalan Melaka-Muar di Kampung Sempang, Merlimau, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, Mohamad Afez Hassan, 19, maut di tempat kejadian selepas motosikal Suzuki Shogun RR ditunggangnya bertembung sebuah van menyebabkan mangsa terjatuh dan parah di kepala.
Harian Metro difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke surau berhampiran rumahnya untuk menunaikan solat Subuh.
Bapa mangsa, Hassan Mohd, 50, berkata, anaknya baru menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor sejak beberapa bulan lalu dan mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian ke UMT selepas hari raya Aidilfitri ini.
Katanya, anak keduanya itu yang juga pasangan kembar kepada kakaknya Norhafiza, 19, sudah membuat persiapan menyambung pengajiannya dengan menyimpan semua pakaian dan keperluan sejak seminggu lalu.
“Bagaimanapun, takdir menentukan dia pergi buat selama-lamanya hari ini (semalam). Saya pun tak sangka perjalanan arwah ke surau untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah menjadi noktah terakhir dalam hidupnya.
“Patutlah arwah memberitahu emaknya dia beria-ia hendak berhenti kerja (sebagai pembantu kedai serbaneka 24 jam di Semabok) semalam (kelmarin). Kami tak tahu ia menjadi petanda arwah akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin, di sini, semalam.
Hassan berkata, sejak pulang ke kampung sementara menunggu kemasukan ke UMT, Allahyarham sering ke surau menunaikan solat Subuh.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~