FFM ke-24 pecah rekod

FFM ke-24 pecah rekod

Oleh HARYATI KARIM


JIKA tahun lalu sebanyak 29 buah filem yang layak dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia (FFM), tahun ini menerusi FFM24, sebanyak 42 buah filem layak bertanding menjadikan jumlah itu merupakan yang terbanyak sepanjang 31 tahun dan 23 kali festival itu berlangsung.


Berbangga dengan jumlah penyertaan, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) selaku pengarah FFM24, Jurey Latiff Rosli berkata, jumlah tersebut diambil berdasarkan skim wajib tayang.


“Alhamdulillah, buat pertama kalinya Gafim menjadi penganjur FFM, kita dapat banyak penyertaan. Angka itu sendiri sudah cukup untuk membuktikan industri perfileman tempatan sedang rancak berjalan dan sedang berada di puncak.


“Jika dulu, kita tidak terfikir bahawa filem Melayu mampu mengutip sehingga RM10 sehingga RM12 juta tetapi sekarang sudah jelas terbukti dengan kejayaan kutipan filem KL Gangster,” katanya.


Dia yang ditemui selepas majlis prapelancaran FFM24 di Kompleks Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini turut berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh penggiat seni bukan Melayu tetapi kecewa kerana kelibat pelakon popular tidak ramai yang kelihatan.


“Kita sudah menjemput semua orang dan ramai yang mengesahkan kehadiran mereka tetapi mungkin pada saat-saat akhir mereka terlibat dengan penggambaran, sebagai orang seni saya faham kekangan mereka.


“Cuma saya mohon mereka memberikan lebih sokongan, majlis ini cuma prapelancaran untuk kita menghebahkan tentang FFM24, selepas ini kita akan adakan majlis pelancaran rasmi, jadi saya harap ramai penggiat seni terutamanya, pengarah, penerbit dan pelakon boleh hadir kerana ini FFM24 merupakan majlis untuk meraikan mereka.


“Pihak penganjur FFM24 sudah mencuba sehabis baik, harus diingat festival filem seperti ini hanya setahun sekali, kalau mereka (penggiat seni) tidak menyokong majlis sendiri, siapa lagi yang mahu sokong,” ujar Jurey lagi.


Apabila disoal adakah FFM24 terjejas dek penggunduran Persatuan Penerbit Filem (PFM) daripada Gafim yang pada asalnya dinaungi oleh 12 persatuan seni, Jurey enggan memberikan penjelasan lanjut kerana mahu memberi fokus kepada penganjuran FFM24 yang sedang rancak berjalan.


“Saya minta PFM fikir balik soal pengunduran mereka, setakat hari ini penganjuran berjalan lancar. Itu sahaja yang boleh saya cakap, selebihnya saya akan beritahu selepas kami mengadakan mesyuarat pada 29 Julai ini,” katanya.


Berbalik kepada festival filem, FFM24 yang mempertaruhkan 33 anugerah secara keseluruhannya termasuk satu kategori baru iaitu kategori filem bukan bahasa Melayu yang setakat ini telah menerima lima penyertaan akan diadakan dalam dua majlis berbeza.


Majlis pertama, malam Anugerah Gemilang Cipta FFM24 yang akan diadakan di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur pada 16 November depan. Pada malam itu sebanyak 12 kategori anugerah akan diberikan kepada pemenang.


Kemudian, pada 19 November yang dinamakan malam Anugerah Gemilang Perdana yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebanyak 14 kategori akan diberikan termasuklah tiga anugerah khas iaitu, Anugerah Khas Perdana (tiga anugerah) dan Anugerah Khas Juri (empat anugerah).


Bagi kategori utama, selain trofi, pihak penganjur memperuntukkan hadiah berupa wang tunai bermula RM10,000 sehinggalah RM25,000 untuk anugerah tertinggi iaitu filem terbaik.


Tambah Jurey, kelainan yang cuba ditonjolkan oleh Gafim dalam menganjurkan FFM24 adalah cuba mendekatkan festival filem ini pada masyarakat dengan menyasarkan seramai 17 juta rakyat Malaysia sedar akan kewujudan FFM24.


Kami menyasarkan angka itu kerana kami ingin FFM24 bukan sahaja diraikan oleh penggiat seni tetapi juga seluruh rakyat Malaysia termasuk mereka yang berada di ceruk kampung.


“Jadi, kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri seluruh Malaysia untuk mengadakan siri jelajah ke setiap negeri. Selain membawa pelakon bagi memperomosikan FFM24, kita juga akan mengadakan bengkel serta aktiviti menonton filem tempatan.


“Setakat hari ini negeri yang telah mengesahkan penglibatan mereka adalah Perak pada 10 sehingga 12 September dan Pulau Pinang pada 16 September. Selain dua negeri itu, kami juga sedang berusaha untuk mendapatkan kerjasama kerajaan negeri untuk melakukan siri jelajah di Kuantan, Pahang; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak; Johor Bahru, Johor, Melaka dan Seremban, Negeri Sembilan,” tutur Jurey.


Tidak terhad dengan itu, bagi mencapai sasaran kesedaran seramai 17 juta rakyat Malaysia, FFM24 turut mendapat promosi secara percuma sebanyak RM1.8 juta daripada syarikat pengiklanan Asia Media.


Syarikat tersebut akan mengiklankan FFM24 di dalam 1,500 buah bas merangkumi rangkaian pengangkutan Rapid KL, Plusliner, Causewaylink yang beroperasi sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Singapura.


Antara senarai filem yang tercalon dalam FFM24 adalah Sini Ada Hantu, Khurafat, KL Gangster, Libas, Kembar Siang, Kongsi, 3,2,1, Cinta, Sekali Lagi, Flat 3A, Hikayat Merong Mahawangsa, Karak, Ratu The Movie, Raya Tak Jadi, Cun, Tolong Awek Aku Pontianak, Seru, Di Larang Masuk, Senjakala, Penunggu Istana, Nur Kasih The Movie, Klip X 3Gp, Momok Jangan Panggil Aku, Rasuk, Karipap-Karipap Cinta, Al-Hijab, Sumpahan Puaka, Toyol Nakal dan ... Dalam Botol.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~