Beli 'suka-suka'

PERSIAPAN...Pasar Mundok menjadi pilihan penduduk Kelantan mendapatkan barangan sempena persiapan raya.
PERSIAPAN...Pasar Mundok menjadi pilihan penduduk Kelantan mendapatkan barangan sempena persiapan raya.




RANTAU PANJANG: Ketika Kelantan mencatatkan kes kecederaan akibat mercun paling tinggi, Pekan Mundok di Selatan Thailand yang bersempadan Kampung Bukit Lata di sini, dikesan menjadi 'lubuk' bekalan mercun dan bunga api yang banyak dijual secara terbuka dan harganya pula dikatakan amat murah.



Tinjauan Harian Metro ke pekan yang meriah pada setiap Jumaat itu mendapati, bekalan yang banyak dan murah itu menarik sebilangan penduduk negara ini yang cuba menyeludup masuk mercun dan bunga api melalui pelbagai cara termasuk membungkusnya dengan rapi termasuk di dalam plastik hitam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.


Bagaimanapun, kawalan ketat anggota Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menggagalkan percubaan berkenaan. Buktinya, berlonggok-longgok mercun dan bunga api yang dirampas, dikumpulkan di kawasan jeti.






Malah, ketika wartawan Harian Metro meninjau kawasan jeti berkenaan, ada penyeludup yang merayu kepada anggota keselamatan supaya mercun dan bunga api mereka dipulangkan semula dengan alasan hanya membeli untuk 'suka-suka'. Namun, nasib mereka tidak begitu baik kerana anggota keselamatan tetap bertegas, undang-undang tetap undang-undang.


Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa tidak membenarkan anak mereka bermain mercun kerana boleh mengundang padah.


Beberapa kes membabitkan cedera akibat bermain mercun di Kelantan sebelum ini, termasuk seorang remaja yang kehilangan tiga jari tangan kiri akibat bermain mercun bola ternyata belum mampu menimbulkan keinsafan kepada orang ramai.







Dalam pada itu, pengunjung ke pekan berkenaan didapati meningkat sekali ganda berbanding kira-kira 7,000 pengunjung pada hari biasa, berikutan ramai yang mencari barangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri.


Ini terbukti apabila parkir penuh dan bot yang digunakan untuk ke pekan itu dengan tambang RM1 setiap seorang sentiasa penuh dengan penumpang.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~