Sabar sebelum serang Singapura

Sabar sebelum serang Singapura

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my


PARA penyokong skuad Harimau Malaya perlu bersabar terlebih dahulu sebelum berhajat menyeberangi Tambak Johor pada 23 Julai ini.


Ini kerana jumlah sebenar tiket diperuntukkan buat penyokong Malaysia untuk aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar itu hanya akan diketahui selewat- lewatnya esok.


Masalah pasti timbul memandangkan stadium yang menggunakan permukaan rumput sintetik itu hanya boleh memuatkan 6,000 penonton.


Sedangkan para penyokong Malaysia tampak begitu bersemangat untuk menyerang Kota Singa itu bagi memberi sokongan padu kepada barisan pemain skuad Datuk K. Rajagobal.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzud- din Ahmad berkata, beliau sudah pun menghubungi pihak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bagi membin- cangkan hal tersebut.


“Pihak FAS menyatakan bahawa mereka akan menetapkan harga tiket serta berapa peruntukan untuk diberi kepada penyokong Malaysia dalam masa sehari dua lagi.


“Tiada ketetapan sebenarnya. Terpulang kepada budi bicara pasukan tuan rumah untuk beri peruntukan tiket kepada pasukan lawan. Kita akan lihat terlebih dahulu berapa jumlah ditawarkan FAS.


“Jika terlalu sedikit, kita akan cuba merayu tambahan peruntukan. Sama seperti final pertama Piala Suzuki AFF 2010, FAM beri peruntukan 20 peratus tempat duduk untuk penyokong Indo- nesia,” kata Azzuddin semalam.


Andai dicongak dengan kemungkinan FAS turut memberi peruntukan 20 peratus tiket, hanya 1,200 penyokong Harimau Malaya akan dapat berada di Stadium Jalan Besar pada 23 Julai ini.


“Pihak FAM sangat menghargai sokongan dan keghairahan penyokong Malaysia.


“Kita akan cuba yang terbaik dan mana yang tidak dapat ke Singapura, kita harap dapat membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk aksi kedua pada 28 Julai,” jelas Azzuddin.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~