JOHOR BAHRU: Penantian sepasang suami isteri untuk mendapat cahaya mata sejak enam tahun lalu berbaloi apabila dikurniakan anak kembar tiga yang selamat dilahirkan di Hospital Pakar Regency, Pasir Gudang, di sini, jam 10.37 pagi, Khamis lalu.
Bapa kembar tiga itu, Ahmad Fisol Rejab, 33, berkata dia bersyukur dengan kehadiran dua bayi perempuan dan seorang lelaki yang dilahirkan melalui pembedahan.
Katanya, kecekapan doktor menguruskan pembedahan itu membolehkan isterinya, Rusmiyati Kamaruddin, 31, selamat melahirkan tiga anak mereka dalam tempoh selang seminit setiap bayi.
“Memang gementar untuk bergelar ayah buat pertama kali, terutama selepas sekian lama menunggu, inikan pula dikurniakan tiga anak sekali gus.
“Ia menjadikan tanggungjawab sebagai bapa lebih berat, namun saya sedia memikul tanggungjawab ini. Hingga kini saya dan isteri masih memikirkan nama sesuai untuk tiga anak kami.
“Semua bayi yang dilahirkan dalam keadaan sihat dengan masing-masing seberat dua kilogram, namun mereka perlu diletakkan di bawah pengawasan hospital bagi memastikan keadaan stabil.
“Isteri saya stabil dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama,” katanya.
Pasangan guru yang hampir gagal mendapatkan anak mencuba kaedah in-vitrofertilisatian (IVF) sebelum Rusmiyati disahkan mengandung.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~