Tangan tersepit mesin

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah syarikat percetakan mengalami detik cemas dan menyakitkan lebih 10 minit selepas tangan kanannya tersepit pada mesin KORD Offset dalam kejadian di Jalan Nyonya, di sini, pagi semalam.



Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pekerja terbabit, Mahmod Ahmad,32, warga Bangladesh membersihkan kotoran di mesin berkenaan.


Bagaimanapun, mangsa tidak memberhentikan mesin itu sebelum melakukan kerja pembersihan sebaliknya memasukkan tangan kanannya ke bahagian tengah rim mesin yang bergerak.






Pekerja di syarikat penerbitan itu yang dikenali sebagai Wan, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di biliknya yang bertentangan dengan mesin itu.


“Saya terkejut selepas mendengar bunyi kuat disusuli teriakan Mahmod, tetapi ketika itu kami gagal menghentikan mesin terbabit sebaliknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menghentikannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Beliau berkata, tangan Mahmod sudah tertarik masuk ke bahagian rim itu dari siku hingga ke tapak tangannya dan hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba.







Katanya, akibat kehilangan banyak darah, Mahmod pengsan di tempat kejadian.


Sementara itu, Ketua Operasi Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Shamsul Faizal Mansor, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian terbabit pada jam 11.15 pagi dan dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.





Menurutnya, pihaknya mengambil masa lebih sejam untuk menarik keluar tangan mangsa kerana banyak besi tajam menyucuk lengannya.


“Selepas mengeluarkan tangan mangsa, dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~