Skrin besar di Dataran Merdeka
PEMINAT bola sepak tempatan berpeluang untuk menonton siaran langsung perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 antara Malaysia menentang Lebanon melalui skrin besar di Dataran Merdeka pada Ahad ini bermula pukul 10.30 malam.
Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan, siaran langsung itu dibawakan oleh kementerian dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Skuad Olimpik Malaysia di bawah kendalian Ong Kim Swee layak beraksi menentang Lebanon pada pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 yang bakal berlangsung di Stadium Sport City, Beirut selepas menumpaskan Pakistan dalam perlawanan kelayakan pertama dengan agregat 2-0.
Pasukan negara dijangka pulang ke tanah air pada 20 Jun dan menanti kedatangan lawan bagi perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Jun ini.
Lebanon memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaian pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 12 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.
Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~