Pujian bukan penghalang penyingkiran

Pujian bukan penghalang penyingkiran

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my



PASANGAN adik-beradik Mohammat Arziwan dan Azirah Nabinah Amat terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan tersebut.

BIARPUN baru seminggu beraksi, namun nasib ternyata tidak menyebelahi dua pasangan rancangan Mari Menari musim kedua setelah tersingkir pada minggu yang pertama.


Memulakan aksi di pentas tarian pada Sabtu lalu, pasangan Ummi dari kumpulan Ray mendapat undian terendah berbanding empat lagi pasangan.


Pasangan tersebut yang merupakan pasangan adik-beradik iaitu Mohd. Hairul Izuan, 25, dan Siti Ummi Nur Faitul Zilla Dahalan, 27, itu hanya mendapat sebanyak 16.6 peratus.


Menampilkan satu persembahan tarian yang cukup menarik dengan diiringi lagu Joget Angan Tak Sudah nyanyian Jay Jay, namun ia masih belum mampu lagi memikat hati juri dan penonton.


Sementara pasangan Nora pula mendahului saingan selepas tamat persembahan apabila mereka memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 24.75 peratus.


Merupakan pasangan suami isteri, Mohd. Faizule Abdullah, 23, dan Tengku Puteri Norazilina Tengku Aman Shah, 22, mempersembahkan tarian yang diiringi lagu Zapin Cinta SMS nyanyian Adibah Nor dan Senario.


Dalam saingan yang berlangsung pada hari Ahad membabitkan kumpulan Belalang, pasangan Wan telah diumumkan memperoleh undian terendah, sekali gus tersingkir dan tidak dapat beraksi pada minggu berikutnya.


Walaupun mendapat pujian yang positif daripada juri profesional, ternyata pasangan tersebut tidak dapat menyaingi undian empat peserta lain.


Pasangan Mohammat Arziwan, 25, dan Azirah Nabinah Amat, 18, yang juga pasangan adik-beradik itu sekadar mendapat 18.13 peratus undian.


Ditemui selepas tamat persembahan, pasangan tersebut meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat meneruskan saingan walaupun telah melakukan satu persembahan yang menarik.


Menurut Arziwan, persaingan pada malam tersebut sememangnya dilihat cukup sengit dan jarak undian antara setiap peserta tidak jauh berbeza.


“Secara jujurnya kami memang tidak dapat menjangka untuk tersingkir awal, namun kami sedar bahawa persembahan pasangan lain juga tidak kurang hebatnya.


“Memang keputusan ini agak mengecewakan, tetapi kami tetap berpuas hati kerana dapat menyertai rancangan ini walaupun adik saya tidak ada asas dalam tarian,” ujarnya yang juga merupakan artis budaya di Jabatan Kebudayaan Sarawak.


Sementara itu, Azirah yang tidak dapat menahan air mata kerana tersingkir pula menyatakan penglibatan mereka berdua bukan sekadar suka-suka.


Ujarnya, mereka bersetuju untuk menyertai rancangan tersebut kerana mahu merapatkan lagi hubungan mereka yang pernah renggang sebelum ini.


“Sebelum saya mendirikan rumah tangga, hubungan saya dengan abang agak rapat, namun selepas saya berkahwin ketika berusia 16 tahun, hubungan kami tidak lagi rapat.


“Walaupun hanya seminggu dalam rancangan ini, saya tetap gembira kerana banyak perkara saya pelajari dan sangat berterima kasih kepada suami yang memberi keizinan kepada saya,” ujarnya.


Persembahan pada minggu pertama yang bertemakan Gemalai Extravaganza itu diadili tiga orang juri tetap iaitu Vanida Imran, Harith Iskandar dan Joseph Gonzalez serta seorang juri jemputan, Jaafar Onn.


Dengan penyingkiran kedua-dua pasangan tersebut, kini tinggal lapan lagi pasangan iaitu Nora, Azlin, Sarah, Bibi, Nita, Faiz, Mizi dan Razman akan bersaing pada minggu berikutnya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~