KUALA LUMPUR: Merisaukan apabila satu laman web pengkid mampu menarik lebih 1,600 ahli dari seluruh negara dengan segelintir daripadanya secara terang-terangan mendakwa gemar menjalin hubungan sejenis, seolah-olah menggambarkan kegiatan itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Golongan songsang ini tanpa segan silu memaparkan nama dan nombor telefon bimbit masing-masing dalam laman web berkenaan supaya mudah dihubungi mereka yang berminat.
Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka sanggup mengajak pasangan yang baru dikenali daripada laman web berkenaan untuk mengadakan seks rambang dengan rakan mereka.
Pemerhatian Metro Ahad mendapati kebanyakan gadis yang menyertai laman cari teman berkenaan terdiri daripada lingkungan umur 19 hingga 30 tahun.
Profil kebanyakan gadis terbabit menunjukkan mereka berpelajaran tinggi, menuntut di universiti terkenal tempatan dan ada juga yang bekerja serta mempunyai jawatan bertaraf eksekutif di beberapa syarikat besar.
Hasil pemerhatian itu juga mendapati, kelompok songsang ini menjadikan laman web berkenaan sebagai tempat untuk meluahkan perasaan selain membuka ruang untuk ahli baru mendaftarkan diri.
Wartawan yang melakukan penyamaran turut mendaftarkan diri dalam laman web berkenaan. Malah, siasatan yang dilakukan berjaya membawa wartawan bertemu dua gadis yang mengaku pengkid dan lesbian.
Gadis yang ditemui mengaku laman web berkenaan menjadi tumpuan golongan bernafsu songsang mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan. Selain itu, tidak kurang juga yang cuba mencari ‘cinta sejati’ daripada kaum sejenis.
Malah, selain portal berkenaan, mereka turut menyertai pelbagai ‘kelab’ lesbian dan pengkid di alam siber itu. Pemerhatian wartawan turut mendapati pasangan lesbian mahupun pengkid lebih mesra, penyayang dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
Ikuti kisah gadis pengkid dan lesbian ini menerusi penyamaran yang dilakukan wartawan.
> AYISH, 23:
MENURUT Ayish, dia mula menyertai laman web berkenaan sejak tujuh bulan lalu bagi memudahkannya berjumpa dan berkenalan dengan kaum sejenis.
“Sejak menyertai laman web berkenaan, saya sudah berjumpa dengan 10 gadis yang masing-masing meminati pengkid. Malah, ada antaranya pernah menjadi teman wanita dan tidak kurang juga ‘skandal’.
“Jika di luar sana, pasti sukar untuk mendekati gadis. Lagipun, nanti orang pandang serong pula. Tetapi dengan laman web berkenaan, semuanya secara terbuka dan mereka yang menyertainya mempunyai minat yang sama,” katanya.
Menjelaskan mengapa dia beralih arah kepada pengkid dan meminati kaum sejenis, Ayish berkata, dia mencari cinta sejati daripada mereka yang sudi memberinya.
Ini kerana dia ditinggalkan teman lelakinya yang bernafsu songsang hingga mula berpaling kepada wanita gara-gara ‘patah hati’ dengan lelaki.
“Saya mula mengubah perwatakan sejak di bangku sekolah lagi. Waktu itu, saya mempunyai seorang teman lelaki. Selepas bertahun-tahun bercinta, akhirnya dia mengakui dirinya gay dan lebih meminati kaum lelaki. Kerana kecewa dengan kenyataan itu, saya mula membenci lelaki. Sejak itu, saya cuba membalas perbuatannya dan lama kelamaan, perasaan saya semakin menebal terhadap kaum sejenis.
“Sejak itu juga, saya mula menukar penampilan seperti lelaki, memakai bengkung, memotong rambut dan mencari gadis yang sudi berkenalan serta memadu kasih. Selama menjadi pengkid, saya mempunyai ramai teman wanita dan kebanyakannya dicari menerusi laman web sama,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, semuanya tidak bertahan apabila hubungan mereka sering putus di tengah jalan.
“Sebab itu, saya mahukan seorang gadis yang betul-betul boleh mengisi kekosongan dalam hati ini. Saya mahu gadis yang benar-benar mencintai saya. Saya juga tidak pasti sampai bilakah saya akan jadi seperti ini. Kerana lelaki, saya yang merana. Kalau nak diikutkan, saya memang mahu berubah.
“Begitupun, saya hanya akan berubah jika teman lelaki saya yang dulu berubah. Selagi dia tidak ke pangkal jalan dan mengenepikan nafsunya, saya juga tidak akan melakukan perkara sama,” katanya.
> SHIMA, 26:
BAGI Shima, dia lebih gemar menjadi lesbian kerana tidak perlu menukar penampilan seperti seorang lelaki selain dapat memadu kasih dengan kaum sejenis ataupun lelaki.
Menurutnya, dia mula terbabit dengan kegiatan songsang itu ketika masih menuntut di bangku sekolah.
Ini kerana, katanya, bercinta dengan gadis lebih menyeronokkan berbanding lelaki.
“Kebanyakan kenalan yang saya temui bermula daripada laman web berkenaan. Sejak menyertainya tiga tahun lalu, saya mempunyai ramai kenalan lesbian dan pengkid.
“Bagaimanapun, saya lebih gemarkan wanita yang berperwatakan ayu dan manja. Saya tidak berapa meminati pengkid kerana mereka lebih cenderung meniru gaya kaum lelaki.
“Bagi saya, seorang wanita lebih mengambil berat, penyayang dan memahami hati serta perasaan saya. Sebab itu, saya rasa bahagia setiap kali bersama dengan wanita yang saya sukai,” katanya.
Menurut Shima, dia pernah mempunyai teman lelaki dan pada masa sama mempunyai kawan rapat yang juga seorang gadis.
Ketika sedang hangat bercinta, katanya, dia sering kecewa dengan layanan teman lelaki namun si gadis pula lebih banyak membantu ketika dalam kesusahan.
“Diam-diam, kami mula menjadi akrab dan kemudian menaruh perasaan terhadap satu sama lain. Sejak itu, saya mula gemar menjalinkan hubungan dengan kaum sejenis. Tidak ada lelaki yang dapat memahami perasaan wanita. Kami mahukan belaian yang lembut dan romantik tetapi kebanyakan lelaki lebih kasar dan sentiasa mengambil ringan mengenai sesuatu perkara.
“Lagipun, jika saya menjadi lesbian, saya boleh merasa ‘nikmat’ bersama gadis lesbian atau pengkid. Malah, saya juga boleh mempunyai teman lelaki.
“Terus terang, laman web seperti ini memberi peluang kepada golongan seperti kami berjumpa antara satu sama lain dan berkenalan. Malah, sepanjang tiga tahun mengikuti laman web berkenaan, saya sudah menemui ramai kenalan lesbian dan ada antaranya pernah menjadi kekasih,” katanya.
Bagi Shima, tidak salah menjadi pengkid dan lesbian kerana ia membabitkan perasaan dan hati seseorang itu.
“Lagipun, jangan pandang golongan seperti kami ini sebelah mata. Rata-ratanya, lesbian dan pengkid mempunyai pendidikan tinggi dan kerjaya yang hebat.
“Mungkin juga disebabkan perkara ini, saya lebih cenderung memilih wanita sebagai teman kerana tidak mahu menerima pelbagai tekanan lain. Buat buat masa ini saya lebih gemar bersama ‘teman wanita’ berbanding lelaki. Tengoklah nanti jika saya bertemu dengan lelaki yang benar-benar memahami hati dan perasaan saya, baru saya akan berubah kembali,” katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~