Pesaka tidak akan tunduk
Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my
PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) tidak akan tunduk dengan desakan syarikat Harian Inovatif Sdn. Bhd. (HISB) agar pertubuhan itu menyelesaikan hutang berjumlah RM1.2 juta sebelum 30 Jun ini.
Presiden Pesaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya enggan menjelaskan bayaran berkenaan kerana perbelanjaan itu tidak dapat disahkan jawatankuasa Pesaka.
“Memang benar syarikat ini dilantik Pesaka untuk menganjurkan kejohanan berkenaan, namun tiada sesiapa di Pesaka yang dapat mengesahkan syarikat ini boleh berbelanja sebanyak itu.
“Pesaka tak ada duit nak bayar sehingga RM1.2 juta, jika RM20,000 atau RM30,000 bolehlah kami bayar. Namun jika ada duit pun, kami tak akan bayar kerana tiada pengesahan yang diperoleh daripada jawatankuasa,” katanya di Melaka semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai kata dua HISB kepada Pesaka untuk menyelesaikan hutang berjumlah RM1.2 juta sebelum 30 Jun ini atau harta serta akaun pertubuhan itu dibekukan.
Tuntutan tersebut dibuat ekoran pertubuhan itu gagal membayar semula kos untuk menganjurkan Kejuaraan Silat Sedunia ke-13 yang berlangsung di Stadium Tetutup Sukpa, Kuantan, Pahang pada 21 hingga 27 Oktober 2007.
Mohd. Ali berkata, pihaknya tiada halangan sekiranya HISB membawa pertikaian itu ke mahkamah kerana berpendapat mahkamah akan memberi keputusan yang adil.
“Mahkamah tempat mencari keadilan, apa yang nak ditakutkan. Kami akan hantar wakil untuk jawab di mahkamah, biar mahkamah yang putuskan,” katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~