SANDAKAN: Polis menahan seorang lelaki bersama 170 gram dadah dipercayai jenis syabu bernilai kira-kira RM45,000 dalam satu operasi di Kampung TB Wad Batu 2, dekat sini semalam.
Lelaki warga Filipina berusia 45 tahun itu dipercayai pengedar dadah yang menjadikan reban ayamnya sebagai tempat menyembunyikan bekalannya sebelum dijual.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata lelaki itu ditahan oleh Polis Gerakan Marin yang membuat intipan kira-kira 10.40 pagi.
Dia ditahan ketika berada dalam reban ayam terbabit dan polis menemui dadah berkenaan dalam poket seluarnya, katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Fadzil berkata lelaki itu dipercayai menanam bekalan dadahnya dalam reban ayam berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~