Penceroboh hospital kena tangkap

KUALA TERENGGANU: Kes pencerobohan yang kerap berlaku di kawasan Hospital Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sejak beberapa bulan lalu mula terungkai apabila dua lelaki ditangkap selepas dilihat memecah masuk rumah penyelia di asrama doktor, awal pagi semalam.



Tindakan pantas pengawal bertugas mendapatkan bantuan selepas terdengar bunyi bising dari rumah penyelia itu berjaya mengepung suspek yang cuba melarikan diri selepas menyedari perbuatannya disedari pengawal di lokasi terbabit.


Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian berlaku jam 3.30 pagi ketika dia menjalankan rondaan di kawasan sekitar lokasi asrama doktor, dia berasa curiga selepas terdengar bunyi pintu terkopak di kawasan berhampiran.






Dia yang ternampak kelibat manusia menyembunyikan diri di rumah penyelia itu cuba berlakon seperti tidak melihatnya supaya suspek tidak bertindak agresif.


Katanya, selepas beberapa langkah berjalan dari kawasan pencerobohan, dia terus mendapatkan bantuan rakan pengawal selain memantau pergerakan penceroboh.


“Suspek mula mengatur langkah apabila menyedari perbuatan jenayahnya disedari pengawal bertugas sebelum cuba melarikan diri menerusi pintu pagar belakang dan menuju ke tempat rakannya yang menunggu berhampiran kereta dinaiki mereka sebelum ini.







“Situasi menjadi cemas apabila lelaki yang dikepung itu cuba merempuh keluar dari kawasan terbabit tanpa mengendahkan amaran berhenti daripada beberapa pengawal di situ, namun berjaya ditangkap beberapa minit kemudian hasil tindakan pantas semua pihak,” katanya.


Menurutnya, seorang lagi suspek yang berada berhampiran kenderaan dinaiki mereka, melarikan diri ke bahagian wad pesakit dan berjaya ditahan pasukan pengawal yang mengejar suspek dari tingkat lapan hingga kawasan parkir tingkat bawah.





Katanya, usaha suspek meminta belas simpati daripada pengawal dengan memberi alasan menceroboh rumah penyelia itu bagi menampung kos perubatan isterinya tidak mendapat perhatian kakitangan hospital yang menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.


Difahamkan, kawasan asrama doktor di HSNZ kerap dilaporkan berlaku kes kecurian serta pencerobohan sejak beberapa bulan lalu, menyebabkan pihak berwajib terpaksa menampung kos kerugian terhadap semua kehilangan harta benda di kawasan HSNZ.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~