'Pesawat papa terhuyung-hayang'

KUALA LUMPUR: “Mama nampak pesawat papa terhuyung-hayang sebelum terhempas,” kata Nur Ilyani Zakaria, 29, anak kedua Allahyarham Kolonel (B) Zakaria Salleh, 57, yang terkorban dalam nahas pesawat di Padang, Sumatera, Indonesia, kelmarin.



Nur Ilyani yang juga anak kedua daripada lima beradik itu berkata, arwah bersama ibunya pergi ke Padang dari Melaka kira-kira jam 2 petang kelmarin.


“Sebaik mama melihat keadaan pesawat yang dipandu papa itu, dalam hati mama terdetik akan kejadian itu kerana mama sering mendengar cerita daripada rakan mengenai keadaan pesawat sebelum terhempas.






“Mama sangat terkejut dengan kejadian itu. Selepas terhempas saya difahamkan papa diberi bantuan kecemasan dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Surau Nur As-Sobirin, Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini.


Nur Ilyani yang juga seorang setiausaha berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa bapanya selepas mendapat panggilan daripada ibunya pada hari kejadian.


Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Hafedz, 27, berkata walaupun masih terkejut, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang bapa penyayang dan sering memberi semangat kepada kelima-lima anaknya.







Beliau yang bekerja di Kedah memberitahu kali terakhir bertemu bapanya pada minggu lalu ketika sambutan Hari Bapa.


“Papa ajak kami sekeluarga makan bersama-sama di The Curve, Damansara. Pada hari itu papa gembira sangat, tetapi sedikit keletihan.





“Papa juga tidak pernah memaksa kami jadi juruterbang dan menyokong apa saja cita-cita kami. Abang saya yang sulung seorang juruterbang. Saya akan mengambil lesen juruterbang dalam masa terdekat,” katanya.


Hafedz berkata, bapanya amat meminati dunia penerbangan dan dalam perancangan membangunkan akademi penerbangan di Rawang.


Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Isyak, malam tadi di tanah perkuburan Bandar Tasik Puteri dan meninggalkan seorang balu, Leila Zurina Ahmad Nordin, 50 serta lima anak Muhammad Yamen, 30, Nur Ilyani, 29, Hafedz, 27, Eizat Hakim, 25, dan Farish, 17.


Kejadian berlaku apabila pesawat ringan jenis Cristian Eagle yang dipandu arwah dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011 jatuh di tanah lapang Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, kira-kira jam 5.24 petang waktu tempatan.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~