Mat Gian curi kereta mewah

SHAH ALAM: Polis menahan tiga ‘Mat Gian’ yang sudah berkeluarga selepas dipercayai terbabit dalam sindiket curi kereta dalam serbuan berasingan di Seksyen 20, di sini, Isnin lalu dan di Tanjung Malim, Perak awal pagi kelmarin.



Dalam Ops Lejang Khas kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu, polis menahan dua suspek yang masing-masing memandu kenderaan Toyota Estima dan Toyota Vios apabila dilihat berlegar-legar sekitar Seksyen 20 dalam keadaan mencurigakan.



Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, selepas diselidiki pihaknya mendapati nombor casis dan enjin kenderaan berkenaan tidak sama dengan yang tertera pada cukai jalan. “Siasatan mendapati seorang daripada suspek berusia 22 tahun mempunyai 10 rekod jenayah curi kenderaan dan enam berkaitan dadah, manakala rakannya berusia 26 tahun memiliki tujuh rekod jenayah dadah. Ujian air kencing menunjukkan kedua-dua suspek positif syabu.






“Hasil soal siasat kemudian menahan seorang suspek berusia 27 tahun juga positif syabu di Tanjung Malim, Perak pada jam 3.30 semalam (kelmarin), kira-kira tiga jam selepas dua rakannya ditahan. Polis merampas Toyota Estima dipercayai kenderaan curi yang dipandu suspek. “Semua suspek yang sudah berkeluarga direman sehingga 1 Julai ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.



Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek yang juga penganggur dipercayai bertindak sebagai orang tengah atau ‘transporter’ untuk menghantar kenderaan dicuri mengikut tempat diminta pelanggan.



Katanya, walaupun tiga jenis kenderaan curi termasuk sebuah Toyota Vios dan dua Toyota Estima dianggarkan bernilai RM400,000 sudah ditemui, polis giat menjejak dalang sindiket itu.







“Polis masih memburu dalang termasuk saki-baki anggota sindiket yang dipercayai mula beroperasi sejak setahun lalu di kawasan Lembah Klang dan Perak,” katanya.



Dalam perkembangan lain, katanya, polis Selangor sedang dalam persiapan logistik jika terdapat kemungkinan perhimpunan haram pada 9 Julai ini beralih ke Selangor khususnya di bandar raya Shah Alam.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~