MARANG: “Apa yang mereka lakukan terhadap saya tak boleh diterima akal. Saya bukan saja dibelasah, tapi dicampak ke dalam gaung,” kata Zulkifli Sulong, 45, dari Shah Alam, Selangor yang cedera dibelasah sekumpulan lelaki, kelmarin.
Menurutnya, apabila diperlakukan sebegitu dia hanya terbayangkan mati dan bertawakal.
Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, Zulkifli yang bekerja sebagai penghantar barang berdepan situasi cemas apabila dibelasah selepas meminta seorang daripada kumpulan lelaki terbabit mengalihkan motosikal ketika mengundurkan lori 10 tan dipandunya di kedai serbaneka di Seberang Marang.
Akibat kejadian itu, mangsa yang sudah hampir sembilan bulan bekerja di syarikat kedai serbaneka cedera di muka, mata dan lebam di badan selain menerima jahitan di kepala.
Menceritakan kejadian itu, Zulkifli berkata, dia tidak menyangka permintaannya itu menyebabkan dia diperlakukan tanpa belas kasihan apabila dipukul menggunakan topi keledar dan cota kumpulan lelaki terbabit.
“Ketika itu, saya bersama seorang rakan yang bertindak sebagai kelindan baru tiba di kedai serbaneka di Marang dan ingin menurunkan barang.
“Bagaimanapun, ketika mahu mengundurkan lori untuk menurunkan barang, saya neminta sekumpulan 20 lelaki yang berkumpul tidak jauh dari situ mengalihkan motosikal mereka yang diletakkan di hadapan kedai.
“Semua akur dan mengalihkan motosikal masing-masing kecuali seorang lelaki berusia awal 20-an yang enggan berbuat demikian menyebabkan saya turun dan mengalihkannya sendiri.
“Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit naik angin dan menghubungi beberapa rakannya menggunakan telefon bimbit sebelum kereta jenis Proton yang dinaiki tiga lelaki tiba ke lokasi kejadian.
“Malah, ketika saya mengalihkan motosikalnya, dia yang menggunakan telefon bimbit secara tiba-tiba berkata: ‘Aku anak Marang, jangan tunjuk samseng!,” katanya yang ditemui ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.
Menurut Zulkifli, sebaik kereta berkenaan tiba, lelaki terbabit bersama tiga rakannya menutup mukanya dengan kain sebelum memukulnya menggunakan topi keledar. Penderitaan Zulkifli tidak berakhir di situ apabila empat lelaki terbabit menariknya masuk ke dalam kereta sebelum memecut dari situ.
Sepanjang perjalanan 15 minit, mangsa yang diletakkan di tempat letak kaki bahagian tempat duduk belakang berterusan dipukul dan dipijak sebelum kereta itu berhenti di sebuah kawasan perindustrian di Bukit Kor, Marang.
“Saya diheret keluar dari kereta itu sebelum dicampak ke gaung sehingga jatuh tergolek ke dalam paya.
“Sebelum dicampak, mereka sempat mengambil telefon bimbit dan beg duit saya RM300 selain beberapa dokumen termasuk kad minyak.
“Selepas mereka meninggalkan tempat kejadian, saya merangkak hampir satu kilometer untuk meminta tolong sebelum dibantu pengawal keselamatan di sebuah kilang berhampiran,” katanya.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu kelindannya tidak diapa-apakan dan membuat laporan mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Jertih, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang dihubungi berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan sedang memburu mereka.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~