KUALA TERENGGANU: Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) melabur RM21 juta dalam bidang ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir sejak 2007.
Pengerusinya Razali Idris berkata projek itu kini mempunyai kira-kira 2,200 sangkar yang melibatkan kawasan ternakan seluas lebih 10 hektar.
"Sebanyak 200 sangkar pertama dibina pada 2007 dengan kos RM1 juta dan ia berjaya menghasilkan 20 hingga 50 metrik tan sehingga tahun 2009," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Razali berkata anak Syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya mengeluarkan 200 metrik tan hasil ikan tahun ini.
Katanya tiga jenis ikan tumpuan projek itu ialah spesies talapia pada 2007, diikuti spesies patin, talapia hibrid dan talapia air tawar.
Beliau berkata buat masa ini, pasaran utama ikan-ikan itu ialah di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Terengganu, dan berkemungkinan dieksport jika bekalannya mencukupi.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~