IPOH: Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata jawatankuasa tersebut melibatkan tiga Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan beliau sendiri.
"Jawatankuasa ini akan berbincang mengenai pelbagai aspek dan bukan masalah IPP semata-mata...antaranya ialah mengenai kos dan soal masa depan kerana terdapat di antara konsesi IPP akan tamat pada 2014 dan 2015.
Kita turut membincangkan bagaimana untuk berhadapan dengan masalah ini di masa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmi Pusat Aktiviti Rukun Tetangga Kampung Tengku Hussin di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi IPP.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~