Juruwang bank pecah amanah dihukum penjara dan sebat

MELAKA: Seorang juruwang Bank Islam Malaysia Berhad dihukum penjara 10 tahun dan dikenakan 12 kali sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan pecah amanah melibatkan deposit cek tidak wujud bernilai RM1,925,500.



Roslizam Zabar, 40, dari Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan, melakukan kesalahan itu di cawangan bank berkenaan di Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah.


Bagi pertuduhan pilihan pertama, Roslizam yang diamanahkan kepadanya semua urusan kaunter bank itu, dengan curang dan tanpa pengetahuan serta kebenaran bank, membuat deposit cek-cek yang tidak wujud berjumlah RM95,000 dan dimasukkan ke dalam akaun Roslen Enterprise, sebuah syarikat yang tubuhkannya, antara 5 Dis dan 26 Dis 2008.






Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia membuat deposit cek-cek yang tidak wujud berjumlah RM1,578,000 dan dimasukkan ke dalam akaun Roslen Enterprise antara 9 Jan dan 25 Ogos 2009 manakala bagi pertuduhan pilihan ketiga, dia membuat deposit cek-cek yang tidak wujud berjumlah RM252,500 dan dimasukkan ke dalam akaun Roslen Enterprise antara 2 Ogos dan 17 Ogos 2010.


Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan rotan bagi setiap tiga pertuduhan itu dan mengarahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~