Beregu wanita utama negara masih rapuh

Beregu wanita utama negara masih rapuh

Oleh HELMI TALKAH
helmi@kosmo.com.my


TATKALA tinggal dua hari sahaja lagi sebelum Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2011 membuka tirainya Rabu ini, pemain beregu wanita negara, Wong Pei Tty mengakui, dia masih belum cergas sepenuhnya.


Pei Tty yang bergandingan dengan Chin Ee Hui berkata, dia bimbang sekiranya terpaksa beraksi sehingga set penentuan kerana masih lemah daripada aspek ketahanan fizikal.


“Saya akui memang ketahanan fizikal saya belum berada pada tahap terbaik.


“Begitupun, saya telah mengenal pasti punca masalah tersebut dan saya akan sedaya upaya melakukan yang termampu bagi mengatasinya,” kata Pei Tty semalam.


Pada September tahun lalu, Pei Tty telah menjalani pembedahan ekoran masalah kecederaan lutut yang dialaminya.


Pei Tty hanya kembali beraksi di pentas antarabangsa pada Terbuka Australia April lalu yang mana menyaksikan dia dan Ee Hui berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir sebelum tewas di tangan gandingan Jepun, Shizuka Matsuo/Mami Naito.


Nasib Pei Tty/Ee Hui terus malang apabila terkandas pada peringkat suku akhir Terbuka India sebelum tersingkir seawal pusingan kedua Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia.


Pada Piala Sudirman pula menyaksikan Pei Tty/Ee Hui sekadar mencatatkan satu kemenangan daripada tiga perlawanan.


Jurulatih beregu wanita negara, Phang Cheh Chang yang sedar dengan masalah yang dialami anak buahnya itu enggan memberi sebarang tekanan buat Pei Tty sehingga menjejaskan rentak permainanya.


Sebaliknya, dia mahu pemain tersebut agar tidak memaksa diri sendiri jika sudah tidak mampu meneruskan permainan.


“Kita kena sedar dengan situasi yang dialami Pei Tty ketika ini dan kita tidak boleh terlalu memaksannya.


“Saya lebih gemar melihat dia pulih daripada masalah kecederaan yang dialaminya peringkat demi peringkat dan itu adalah lebih baik daripada dia kecederaannya terus berlanjutan,” jelas Cheh Chang.


Pei Tty/Ee Hui bakal berdepan beregu Kanada, Nicole Grether/Charmaine Reid pada aksi pusingan pertama Rabu ini.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~