Archuleta tak suka terkongkong

Archuleta tak suka terkongkong

DAVID ARCHULETA tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia pada 26 Julai nanti.

WALAUPUN tidak berjaya mendapat gelaran juara American Idol musim ke-7, namun nama David James Archuleta atau nama komersialnya David Archuleta berjaya mendapat tempat di hati peminat bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah di seluruh dunia.


Seawal usia 10 tahun, dia telah memenangi pelbagai anugerah di dalam bidang yang diminatinya iaitu bidang nyanyian di pelbagai peringkat. Pada umur 16 tahun, Archuleta kemudian menjadi peserta termuda di dalam American Idol pada musim tersebut dan berjaya mendapat undian melebihi 97 juta undi.


Kehadirannya di dalam industri muzik dunia bagaikan fenonema apabila namanya terus meledak apabila album sulungnya berjaya berada di dalam senarai 10 teratas di kebanyakan radio-radio utama.


Penampilannya pertama kali ke Malaysia pada April 2009 telah berjaya mengumpul lebih 5,000 peminat-peminat Malaysia semasa membuat showcase di Sunway, Kuala Lumpur.


Kini, pemuda berusia 20 tahun ini akan mengadakan konsert berskala besar di Malaysia pada 26 Julai ini pukul 8 malam, bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur.


Baru-baru ini, wartawan Kosmo!, Noor Ashreen Ismail sempat menemu bual Archuleta di pejabat Sony Music Malaysia di Duta Solaris, Kuala Lumpur.


Kosmo!: Apa perasaan anda untuk kembali semula ke Malaysia kali kedua?


Archuleta: Saya sangat teruja kerana kali terakhir saya ke sana tidak dapat membuat konsert penuh. Namun, kali ini peminat memanggil saya semula dan sememangnya saya sangat teruja untuk kembali ke sana dan membawa seluruh kumpulan bersama serta membuat persembahan selama lebih dari sejam. Kali terakhir saya datang merupakan pengalaman yang indah dan peminat-peminat Malaysia juga sangat baik dan mereka sangat menyokong karier saya.


Apa pandangan anda terhadap Malaysia semasa pertama kali ke sini pada tahun 2009?


Apa yang saya ingat, Kuala Lumpur adalah sebuah bandar raya yang besar dan ia kelihatan sangat hijau di mana saya sangat suka tentang itu. Pada masa itu, suara saya kurang menarik mungkin disebabkan cuaca yang mungkin saya tidak biasa. Namun ia merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan. Saya juga tertarik dengan orang-orang Malaysia, mereka semuanya baik.


Apa yang paling anda nantikan apabila hadir ke Malaysia pada 26 Julai kelak?


Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya mahu memberikan yang terbaik pada konsert penuh saya. Saya rasa seperti dirahmati kerana saya mempunyai ramai peminat yang sentiasa menyokong saya dan mendengar lagu. Mendapatperhatian yang besar dari peminat adalah sungguh bermakna buat saya.


Tiada apa yang dapat memberikan motivasi kepada anda sebagai seorang penghibur selain mempunyai peminat yang menyokong anda dan turut sama berhibur dengan apa yang anda berikan. Apa yang paling menarik adalah memikirkan bagaimana untuk kembali kepada mereka ini dan saya rasakan perkara terbaik ialah kembali dengan memberi persembahan terbaik kepada mereka semua.


Adakah muzik lagu-lagu anda akan disusun semula?


Saya akan kekalkan kebanyakan lagu-lagu saya kerana kebanyakan peminat menyukai lagu-lagu saya yang sedia ada. Saya suka peminat yang datang ke persembahan saya menyanyi bersama saya. Mungkin juga ada penambahan namun hanya sedikit sahaja.


Setelah anda keluar dari Jive Records, kini adakah anda terlibat dengan mana-mana syarikat label?


Saya kini bergerak solo dan saya juga menulis lagu bagi single saya yang terbaharu. Saya kini berada di dalam zon selesa dan mengapa pula saya mahu diri saya dikongkong semula? Saya rasa bebas kini dan bagi saya berada di bawah syarikat pengurusan adalah perkara yang sukar. Kini saya akan membuat kerja tanpa orang memberi tekanan kepada saya selepas ini.


Adakah anda akan keluar dengan album baharu kelak The Other Side Of Down?


Saya berfikir untuk hanya mengeluarkan single dahulu dari sebuah album. Saya tidak mahu terlalu cepat keluar dengan album hanya untuk menaikkan nama saya dengan pantas. Saya mahu ia berjalan dengan lancar dengan mengambil masa untuk mengenali diri sendiri dan mahu ia dikenal sebagai trademark saya. Saya mahu gabungkan kesemuanya apabila saya rasa ia sesuai dan telah tiba masanya. Itu yang saya mahu lakukan.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~