98 kereta mewah ditemui

pix_topright



KLANG: Tindakan licik kumpulan curi kereta mewah yang didalangi sindiket Black Water mengisytiharkan barangan dalam kontena berisi kereta curi sebagai perabot akhirnya tumpas apabila polis merampas 98 kenderaan mewah bernilai kira-kira RM8 juta di sebuah gudang, di Kampung Black Water, di sini, kelmarin.



Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, empat lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4) menyerbu gudang di Jalan Black Water off Jalan Klang-Banting, itu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, serbuan itu yang terbesar bagi tempoh dua tahun berhubung kes curi kenderaan mewah.






“Serbuan dilakukan polis Bukit Aman dengan kerjasama polis Selangor selepas kami menjalankan risikan selama tiga minggu di gudang terletak di Kampung Black Water apabila mendapat maklumat awam.


“Pemeriksaan lanjut di gudang itu menemui 98 kenderaan pelbagai model jenama Toyota dan Honda termasuk yang sudah disimpan di dalam kontena,” katanya pada sidang akhbar, di lokasi serbuan di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.







Mohd Bakri berkata, kenderaan model Toyota ialah Hilux 22 buah; Rush (enam) dan sebuah Fortuner, manakala model Honda pula City 59 buah; CRV (tujuh); Civic (dua) dan sebuah model Accord.


Menurutnya, hasil soal siasat terhadap empat suspek warga tempatan mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah dan sindiket bergerak aktif di seluruh negara terutama di Lembah Klang sejak Jun tahun lalu.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~