Mutakhir
KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta premium, BMW Group Malaysia, merancang meningkatkan pengeluaran sebanyak 50 peratus di kilang pemasangannya di Kulim, kepada lebih 5,000 kenderaan bagi tahun ini, kata Pengarah Urusan Geoffrey Briscoe.
Sebahagian daripada kenaikan itu melibatkan pengenalan model BMW528i dan BMW520d berkuasa diesel, yang dipasang di negara ini.
"BMW Group Malaysia akan memperuntukkan pelaburan tambahan selain pelaburan sedia ada kami bagi meningkatkan operasi di kilang pemasangan BMW Kulim," kata Briscoe dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, langkah itu akan turut mewujudkan kira-kira 80 pekerjaan sangat mahir bagi memenuhi permintaan mendapatkan kenderaan premium BMW.
Sejak beroperasi pada 2008, kilang pemasangan tempatan BMW di Kulim, Kedah, mengekalkan kira-kira 400 tenaga kerja mahir dan memasang lebih 6,500 kenderaan BMW.
Tahun lalu, BMW Malaysia menjual 4,509 kenderaan di negara ini, yang terdiri daripada kira-kira 4006 kereta BMW, 222 Mini Coopers dan 281 motosikal. - BERNAMA

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~