Kakak gadai nyawa demi adik

KUALA KRAI: Kasih seorang kakak yang rela menggadai nyawa menyelamatkan adiknya yang hampir lemas ketika mandi di sungai membawa kepada tragedi memilukan apabila dia turut lemas dihanyutkan arus deras, kelmarin.



Dalam kejadian jam 6 petang di Sungai Lebir, Kampung Manjor, dekat Laloh, di sini, Siti Nurrul Amirah Azami, 16, cuba menyelamatkan adiknya, Siti Nur Fatin Izzaty, 14, sebaik melihat adiknya tenggelam timbul dengan menarik tangannya, namun gagal.


Siti Nurrul Amirah cuba pula diselamatkan abang iparnya, Mohd Zulhilmi Mohd Yahya, 27, tetapi dia hanya mampu mencapai jari telunjuk gadis berkenaan sebelum terlepas dan dibawa arus deras.






Mohd Zulhilmi sekali lagi cuba menyelamatkan adik iparnya itu dengan menanggalkan baju dan seluarnya untuk dijadikan tali, namun gagal dicapai mangsa yang terus tenggelam tanpa dapat dikesan.


Mayat Siti Nurrul Amirah ditemui tersangkut di dahan kayu, dua kilometer dari tempat kejadian kira-kira 5.10 petang semalam, manakala adiknya belum ditemui.


Dua beradik itu ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh.







Mohd Zulhilmi berkata, sebelum kejadian, dia bersama dua adik iparnya dan abang mereka, Abdul Nabiyuhrahim, 18, berkelah di sungai berkenaan. “Amirah (Siti Nurrul Amirah) dan Fatin (Siti Nur Fatin Izzaty) mandi di sungai bersama saya, manakala Nabiyuhrahim tidak mandi dan hanya bersantai sambil bercakap di telefon.


“Ketika saya naik untuk makan, saya melihat Fatin tenggelam dan Amirah berusaha menarik tangan adiknya untuk menyelamatkannya, tetapi gagal apabila Amirah hilang dihanyutkan arus deras.





“Saya berusaha menyelamatkan Amirah yang turut dihanyutkan arus deras dengan cuba menarik tangannya, tetapi dia hanya dapat berpaut pada jari telunjuk saya sebelum terlepas. “Saya gunakan baju dan seluar dijadikan sebagai tali dan menghulurkannya kepada Amirah, namun dia tidak dapat mencapainya dan terus hilang daripada pandangan, “ katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Mohd Zulhilmi yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan dua beradik itu.


“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya mencuba sedaya upaya, namun gagal menyelamatkan mereka,” katanya.


Bapa dua beradik itu, Azami Harun, 47, berkata, tiga anak dan menantunya itu sering ke sungai berkenaan untuk berkelah jika pulang bercuti di kampung.


Katanya, petang kelmarin mereka bercadang berkelah dan mandi di kawasan air terjun tetapi membatalkannya selepas isteri Mohd Zulhilmi, Siti Nurul Hazwani, 20, mengadu sakit pinggang dan mahu mengurut di rumah.


“Mereka menukar rancangan berkelah di sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah dan mandi di sana. Tak sangka, perkara buruk berlaku kepada dua anak saya,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Sahrin Yusma berkata, 12 anggota termasuk enam penyelam dari Balai Bomba Kota Bharu dan selebihnya dari Kuala Krai terbabit dalam operasi mengesan mangsa.


“Kawasan carian menggunakan bot adalah satu kilometer dari tempat kejadian, manakala untuk penyelam pula adalah 300 meter dari tempat dipercayai mangsa tenggelam.


“Kami meneruskan operasi menyelamat ini sehingga kedua-dua mangsa dijumpai dan turut mendapat bantuan daripada skuad skuba Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.


Turut hadir di tempat kejadian, Penyelaras Parlimen Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman dan Penyelaras Dewan Undangan negeri (DUN) Manek Urai, Che Jalal Muda.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~