Pian sudah mohon maaf

KUALA LUMPUR: “Saya sudah memohon maaf kepada Datuk Rozi. Saya menyesali semua kesalahan yang saya lakukan sebelum ini, namun walau apa yang terjadi kami tetap berkawan,” kata pelakon komedi, Mohd Rafiq Abdul Rahman, 41 atau Pian Cecupak mengenai kenyataannya merancang berkahwin dengan model sambilan, Aida Hazira Ahmad Razman, 23.



Pian ketika dihubungi semalam menjelaskan dia menyesali perbuatannya sesudah mengeluarkan kenyataan akan mendirikan rumah tangga bersama model terbabit sehingga menyebabkan Aida tampil menafikan perkara itu, Rabu lalu.


Katanya, kelmarin dia menghantar beberapa SMS kepada rakan baiknya yang juga bapa tiri Aida iaitu Datuk Mohd Rozi Md Jamil memohon maaf di atas segala kesalahannya.






Menurut Pian, selain itu dia mengeluarkan kenyataan maaf kepada peminatnya di facebook dan menganggap kejadian itu sebagai ujian besar dalam hidupnya.


“Saya bersyukur kerana ujian ini membuatkan saya sentiasa mengingati Allah. Semoga ia mengajar saya menjadi manusia lebih baik pada masa depan terutama untuk anak-anak dan ibu saya,” katanya.


Menurut Pian, biarpun kejadian terbabit sedikit mencemarkan namanya, namun dia tetap bersyukur Mohd Rozi masih menganggapnya sebagai kawan dan enggan memutuskan silaturahim yang dibina sejak sekian lama.







“Biarpun saya sedih dengan dugaan ini saya tidak kisah apa anggapan orang kepada kerana saya manusia tidak sempurna yang sentiasa inginkan perubahan.


“Saya akan belajar daripada kesilapan. Walaupun banyak onak dan duri harus ditelan, kejadian ini paling menyakitkan hati selepas isu kolagen beberapa tahun lalu,” katanya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~