Tanpa Azizulhasni, satu emas bakal terlepas

Tanpa Azizulhasni, satu emas bakal terlepas

MALAYSIA bakal kehilangan satu pingat emas pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China selepas jaguh berbasikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang mungkin tidak beraksi pada temasya itu yang akan berlangsung dari 12 hingga 24 Ogos ini.


Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), difahamkan bahawa Azizulhasni tidak akan mengambil bahagian pada temasya dwitahunan itu.


Ada khabar angin mengatakan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, John Beasly tidak membenarkan anak didiknya menyertai temasya tersebut kerana bimbang akan menjejaskan tumpuan Azizulhasni ke Sukan Olimpik London 2012.


Pengurus skuad berbasikal negara ke Universiade 2011, Zufri Yazid berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum menggugurkan nama Azizulhasni dari senarai skuad berbasikal kerana masih menunggu jawapan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Insitut Sukan Negara (ISN).


"Nama Azizulhasni masih belum digugurkan kerana kita masih mengharapkan yang dia akan dapat bersama kita.


"Sekiranya dia tidak dapat beraksi, kita hanya membuat pena- rikan diri sebelum kejohanan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.


Bagaimanapun beliau berkata, skuadnya tetap optimis meletakkan sasaran satu pingat tanpa mengira warna pada temasya sukan itu kelak.


"Saya yakin bahawa salah seorang daripada tiga pelumba iaitu Mohammad Akmal Amrun, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Kimbeley Yap Fui Li mampu membawa balik sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna dari Shenzhen," katanya.


Zufri berkata, ketiga-tiga atlet tersebut kini menjalani latihan persiapan menghadapi Sukan SEA Indonesia 2011 di Chiang Mai, Thailand sebelum berangkat ke Shenzhen pada 10 Ogos nanti.


Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 jenis sukan di Universiade iaitu renang, terjun, badminton, catur, berbasikal, bola sepak, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan taekwondo.


Antara atlet elit yang akan mengambil bahagian pada temasya kali ini ialah Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun), Bryan Nickson Lomas (terjun), Khoo Cai Lin (renang), Zulfadli Zulkifli (badminton) serta Wan Mohd. Khalmizam Wan Abd Aziz dan Chen Chu Sian (memanah). - Bernama

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~